suria

Pengunaan Kerusi Kanak-Kanak Dalam Kenderaan Wajib Pada 2017

BUTTERWORTH: Penggunaan kerusi kanak-kanak di dalam kenderaan akan diwajibkan pada tahun 2017, kata Bendahari Kehormat Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Ahmed Ismail Amin.

Beliau berkata penguatkuasaan peraturan itu adalah untuk menjamin keselamatan kanak-kanak ketika berada di dalam kenderaan.

"Kita sudah mewajibkan pemakaian topi keledar dan tali pinggang keledar bagipenumpang di bahagian hadapan dan belakang kereta tetapi tidak kepada kanak-kanak...dengan adanya kerusi itu, keselamatan kanak-kanak akan terjamin,"katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas kempen keselamatan jalan raya sempena Aidilfitri peringkat negeri Pulau Pinang di Plaza Tol Sungai Dua menghala selatan, pada Khamis, Ahmed Ismail menasihatkan pengguna supaya membeli kerusi kanak-kanak yang mengikut piawaian ditetapkan iaitu jenis ECE R44 dan ECER129.

"Kebanyakan kerusi kanak-kanak yang dijual di pasar raya tidak memenuhikriteria yang ditetapkan dan membahayakan pengguna. Gunalah kerusi yang berkualiti untuk anak-anak walaupun kosnya mahal sedikit," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Pulau Pinang Muhamad Husni Mahmud yang turut hadir pada kempen itu, berkata sejumlah 114 kes kematian akibat kemalangan dilaporkan di negeri ini dalam tempoh Januari hingga hari ini.

"Tujuh puluh peratus daripada jumlah itu adalah penunggang dan pembonceng motosikal," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati dan memandu dengan lebih berhemah sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini dan memastikan kenderaan mereka dalam keadaan yang baik.

Kerusi kanak-kanak, 2017

Artikel Lain