suria

Wanita Dipercayai Kerat Bayi Direman 4 Hari

ALOR SETAR: Seorang wanita dipercayai terlibat dengan penemuan mayat bayi perempuan dikerat lapan bahagian, ditahan reman empat hari hingga Ahad bagi membolehkan polis membuat siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Abdul Rahim Abdul berkata, tahanan reman itu diperolehi walaupun wanita berusia 31 tahun dan belum berkahwin itu masih berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan.

"Orang Kena Tuduh (OKT) masih ditahan di wad (HSB) untuk pemeriksaan doktor," katanya di dalam satu kenyataan hari ini dan menambah, permohonan tahanan reman yang bermula hari ini itu dibenarkan oleh Pendaftar Mahkamah Alor Setar Wan Norfadzilah Wan Ibrahim.

Abdul Rahim berkata beliau tidak pasti bila wanita itu akan dibenarkan keluar daripada hospital.

Dua hari lepas, polis menahan seorang wanita berikutan penemuan mayat bayi yang dikerat kepada lapan bahagian di tangki septik tandas di Kampung Manggol, Mukim Malau, Jitra.

Laporan bedah siasat oleh pihak hospital turut menunjukkan bayi perempuan itu telah meninggal dunia semasa dilahirkan.

Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Jitra, Alor Setar, Bayi

Artikel Sebelum

Artikel Lain