suria

Jemputan Ke Belanda Menjelang Aidilfitri Bakal Imbas Perjalanan Terakhir Mangsa Nahas MH17

TINGGAL KENANGAN... Detik manis Mariyam bersama Allahyarham Kapten Wan Amran (kanan).

PETALING JAYA: Keputusan Mariyam Yusoff untuk menghadiri upacara memperingati mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 di Belanda pada 17 Julai ini bakal mengimbas kembali tugasan terakhir suaminya sebagai juruterbang pesawat itu sebelum  terbabit nahas setahun lalu.

Isteri Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin berkata, dia dijadualkan berlepas ke Amsterdam pada 15 Julai ini iaitu tarikh dan destinasi yang sama suaminya ditugaskan untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Amsterdam pada Ramadan lalu.

“Arwah bertolak ke Amsterdam pada 15 Julai (tahun lalu) dan dia hantar mesej terakhir kepada saya beritahu akan pulang pada 18 Julai sebelum mengendalikan pesawat itu.

“Sebab itu saya anggap perjalanan kali ini teramat istimewa kerana ia bakal dilalui pada masa sama ketika arwah bertugas kali terakhir sebelum meninggalkan kami bertiga.

“Jika berpeluang, saya berharap dapat melihat sendiri bangkai pesawat MH17. Doakan saya selamat pergi dan pulang serta majlis berjalan lancar,” katanya kepada mStar Online sambil menambah dia dijangka pulang ke tanah air pada 18 Julai depan.

Difahamkan, Mariyam adalah sebahagian waris 44 mangsa warga Malaysia yang dijemput MAS untuk menyertai upacara peringatan di Belanda yang dijangka berlangsung pada hari raya pertama.

Menurut Mariyam, kunjungannya ke Belanda akan disertai dua anak lelakinya, Wan Yunus Uzair, 12, dan Wan Yusuf Irfan, 10, serta adik arwah, Wan Ahmad Khairul Anuar Wan Hussin, 45.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan sebagai berkata, selain Malaysia, Belanda dan Australia juga akan mengadakan majlis sama secara berasingan pada bulan ini.

Kata Tiong Lai, MAS sedia menerbangkan keluarga mangsa ke Belanda untuk menyertai upacara yang diadakan pada 17 Julai ini sekiranya mereka mahu berbuat demikian.

Bagaimanapun ketika dihubungi, pihak MAS mengambil pendirian untuk tidak mengulas lanjut mengenai rancangan bagi membawa waris mangsa ke Belanda untuk upacara 17 Julai ini.

Menurut sumber kepada mStar Online, sebahagian waris sudah mengesahkan kehadiran mereka ke majlis berkenaan dan difahamkan, MAS akan menanggung penerbangan untuk dua waris bagi setiap mangsa membabitkan penumpang dan anak kapal.

Mariyam bersama dua anaknya, Wan Yunus Uzair (kanan) dan Wan Yusuf Irfan.

Bagaimanapun menurut Mariyam, kunjungannya bersama tiga lagi ahli keluarganya selepas membuat permohonan bertulis kepada pihak MAS.

“Pada mulanya saya hanya diberikan dua tiket untuk ke Amsterdam, tetapi saya ada dua anak untuk dibawa bersama. Jadi, saya hantar surat kepada MAS untuk permohonan tiket tambahan memandangkan arwah sebelum ini masih mempunyai baki tiket ‘backlog’ yang belum digunakan,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada pramugari MH17, Allahyarham Nur Shazana Mohamed Salleh berkata, dia telah mengesahkan penyertaannya dengan pihak MAS, Jumaat lalu untuk menghadiri upacara peringatan di Belanda.

Mohamed Salleh Shamsuddin, 55, berkata, selepas perbincangan bersama keluarga diputuskan dia akan ditemani anak lelakinya, Mohamed Shafiq, 21, untuk menghadiri majlis itu.

“Pada tarikh sama kita menyambut hari raya dan ia tidak bermakna saya sanggup korbankan sambutan itu untuk ke Belanda bagi menghadiri upacara itu.

Mohamad Salleh dan isteri, Sharom Ibrahim yang juga ibu bapa kepada kru kabin Nur Shazana ketika pengebumian anak mereka di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan Pecint 20 Putrajaya.

“Tetapi sebenarnya hari raya kami sekeluarga sudah tidak semeriah dahulu. Ini hari raya kedua sejak pemergian anak saya (Nur Shazana)," katanya mengenai nahas MH17 berlaku semasa umat Islam menjalani ibadah puasa tahun lalu.

Bagi adik kepada penumpang MH17, Noor Aini Mohd Noor pula, dia tidak menyertai upacara memperingati mangsa nahas yang akan diadakan di Belanda pada 17 Julai ini.

Bagaimanapun kata adik Allahyarham Noor Rahimah Mohd Noor, majlis berkenaan akan dihadiri suami kakaknya, Hipo Litoner, 70-an bersama dua anak lelaki, seorang menantu dan seorang cucu.

“Saya hanya akan menghadiri upacara memperingati mangsa MH17 yang akan diadakan di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) pada 11 Julai.

“Suami arwah menetap di Geneva, Switzerland, jadi jarak mereka dengan Belanda lebih dekat. Biarlah mereka yang pergi dari sana. Kami sekeluarga di Malaysia akan membuat tahlil untuk arwah pada hari raya nanti,” katanya.

Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014 selepas ditembak jatuh semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, mengorbankan 283 penumpang dan 15 anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Mariyam, Mohamed Salleh dan Noor Aini turut mengesahkan kehadiran mereka bersama ahli keluarga masing-masing ke upacara memperingati mangsa tragedi MH17 yang akan diadakan di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 11 Julai ini.

MH17, Mariyam Yusoff, MAS, Belanda

Artikel Sebelum

Artikel Lain