suria

Parlimen Jadi Sasaran Suspek Militan

KUALA LUMPUR: Bangunan Parlimen merupakan antara bangunan yang menjadi sasaran 12 suspek kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam rancangan serangan bom yang digagalkan oleh pihak polis baru-baru ini. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, suspek menyasarkan beberapa kawasan termasuk tempat-tempat yang dianggap sebagai 'kawasan maksiat'. 

Kumpulan suspek itu menyasarkan Putrajaya, Dewan Rakyat dan Dewan Negara kerana tidak mempercayai sistem demokrasi, kata Ahmad Zahid kepada Dewan Negara.

"Sebaliknya, suspek lebih mempercayai sistem khalifah Islam," katanya. 

Polis menggagalkan serangan keganasan dengan menahan suspek militan yang disyaki sedang membuat campuran bahan kimia sebagai bahan letupan.

Menurut polis, bahan letupan tersebut mampu meletupkan satu kawasan dengan lingkungan sehingga 500 meter. 

Suspek didakwa merancang untuk mengadakan serangan ke lebih lima sasaran termasuk kelab malam dan pusat hiburan.

Ahmad Zahid mendakwa kebanyakan suspek terlibat dalam kegiatan militan, mendapat pendidikan di sekolah agama, madrasah atau sekolah pondok. 

Tambahnya, mereka yang terlibat tidak mengira latar belakang, termasuk pensyarah dan pelajar dari institusi pengajian tinggi swasta.

Beliau berkata, menurut kajian yang dijalankan, lebih 50 peratus pengikut IS berumur 40 tahun ke bawah, yang juga merupakan sasaran utama dalam merekrut anggota kumpulan keganasan.

Selain itu, beliau turut memberitahu terdapat tiga faktor utama yang dapat menarik minat untuk menyertai IS iaitu isu keluarga, masalah kewangan dan tekanan hidup. 

Menurut Ahmad Zahid, kebanyakan daripada 107 suspek yang ditahan berhubung kegiatan militan di negara ini berpunca daripada masalah keluarga.

Parlimen, militan, IS

Artikel Lain