suria

Usaha Kerajaan Tumpu Pembangunan Pendidikan, Turut Bantu Negara Lain - TPM

Muhyiddin Yassin (kanan) diberi taklimat mengenai operasi keretapi laju Shinkansen ketika dalam perjalanan dari Tokyo ke Sendai bagi menghadiri Persidangan Dunia PBB Ketiga Mengenai Pengurangan Risiko Bencana di Sendai, Jepun pada Ahad.

TOKYO: Usaha kerajaan yang menumpukan kepada pembangunan pendidikan telah membolehkan rakyat Malaysia bukan sahaja terlibat dalam pembangunan negara malah turut membantu banyak negara lain, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata pendidikan merupakan pelaburan terbesar negara dalam membentuk rakyat yang berilmu, berpengetahuan dan berkemahiran yang diperlukan untuk membangunkan negara.

Katanya, peranan rakyat Malaysia yang profesional dan mempunyai kepakaran kini digunakan untuk membantu negara lain.

"Terdapat hampir satu juta diaspora di luar negara. Mereka ini pakar,profesional. Walaupun Malaysia sebuah negara membangun, tetapi dapat membiayai bidang pendidikan kerana kerajaan sentiasa mementingkan soal pendidikan.

"Kita mahu lahirkan tenaga pakar dan mahir. Kita tak bergantung kepada warga asing dan expatriat (untuk bangunkan negara). Kita sudah banyak berbelanja untuk membangunkan negara (dalam pendidikan)," katanya pada jamuan malam bersama komuniti Malaysia pada Ahad malam.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata Malaysia masih mengharap dan memerlukan ramai tenaga profesional di luar negara serta mereka yang tamat pengajian untuk pulang ke tanah air bagi membangunkan negara.

"Kita perlukan tenaga manusia, sumber manusia yang ada kemahiran. Kerana itu, kita bentuk Talent Corp (Talent Corp Malaysia Berhad) untuk pujuk kembali ke negara, untuk bantu laksanakan program transformasi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata walaupun banyak negara berhadapan masalah kemerosotan ekonomi namun Malaysia masih mampu mencatat pertumbuhan dengan lebih enam peratus dicapai tahun lepas.

"Kerana itu, kita terpaksa bawa masuk pekerja asing (untuk pekerja kurang mahir). Lebih dua juta pekerja asing terpaksa dibawa masuk untuk tampung kekurangan dalam hampir semua sektor.

"Malaysia sediakan peluang hidup bukan hanya untuk rakyat negara, tetapi juga rakyat negara lain. Sehingga ada sebahagian datang secara haram.

"Malaysia syurga kepada ramai. Hanya sesetengah rakyat Malaysia yang percaya Malaysia tidak cukup baik buat mereka," katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Artikel Berikut

Artikel Lain