suria

Majlis Peguam Pertimbang Rujuk Shafee Ke Lembaga Disiplin

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah
KUALA LUMPUR: Kepimpinan Majlis Peguam yang baharu dilantik sedang mempertimbangkan untuk merujuk Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ke Lembaga Disiplin berhubung salah lakunya selepas kes liwat 2 Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai.

Presiden yang baharu dilantik, Steven Thiru berkata, Majlis Peguam telah diberi kuasa untuk membuat aduan terhadap mana-mana anggotanya kerana salah laku.

"Kami telah pun melihat ke arah itu sejak isu ini timbul, namun masih belum membuat keputusan lagi," katanya.

Beliau juga berkata bahawa mereka mungkin akan mencabar perintah mahkamah, walaupun Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Peguam telah tamat.

"Kami perlu meneliti pernyataan tuntutan terlebih dahulu. Saya tidak fikir ia adalah akademik. Ia merupakan prinsip penting bagi kami," katanya.

Walaupun menyedari bahawa Shafee telah memfailkan injunksi untuk menghalang mereka daripada membincangkan kelakuannya pada AGM ke-69, Steven berkata Shafee sepatutnya menghadiri mesyuarat itu untuk membahaskan isu ini dengan rakan-rakannya.

"Kami agak kecewa kerana Shafee bersedia untuk membahaskan perkara itu di khalayak ramai, tetapi dia memilih untuk tidak datang berdebat dengan rakan-rakannya di Majlis Peguam," katanya, merujuk kepada 'roadshow' Shafee mengenai perbicaraan kes liwat Anwar.

Beliau berkata Shafee sepatutnya memilih tindakan yang sama seperti kumpulan G100, yang memperbesarkan rungutan mereka untuk dibahaskan di AGM.

Artikel Lain