suria

KXP Bukan Agenda Jayakan Kroni - Mukhriz

Datuk Seri Mukhriz Mahathir
ALOR SETAR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) bukanlah suatu agenda menjayakan kroni dan membina legasi, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Sebaliknya Mukhriz berkata, pelaburan besar KXP mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menjana pendapatan, selain menawarkan pelbagai peluang dan potensi kepada rakyat untuk meraih limpahan sosioekonomi.

Mukhriz yakin, dengan kemakmuran ekonomi dan pentadbiran kerajaan yang telus, cekap serta beramanah, rakyat akan terus memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN).

"Dengan Umno menjadi tunjang pemerintahan, isu dan permasalahan rakyat akan diperjuang dan diselesaikan," katanya dalam ucaptama sempena Konvensyen Umno Kedah di sini Sabtu.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Menteri Besar Kedah mengimbau kembali kejayaaan BN Kedah yang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu, di mana BN berjaya merampas kembali tampuk pemerintahan kerajaan negeri.

Katanya, Kedah antara negeri menunjukkan prestasi terbaik dalam PRU-13  dengan BN berjaya memperoleh 10 kerusi Parlimen berbanding hanya empat pada PRU-12.
Pada PRU-13, BN menguasai 21 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PAS (9), DAP (2) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) (4).

Bagi Parlimen, BN memperoleh 10 daripada 15 kerusi manakala PKR (4) dan PAS (1).
Justeru katanya, konsep muafakat dalam kalangan jentera parti pada masa itu perlu diteruskan bagi memastikan BN terus berjaya memerintah negeri.

"Kita bekerja dengan satu hati, menurut arahan, mengetepikan kepentingan diri dan sanggup berkorban," katanya.
KXP, Datuk Seri Mukhriz Mahathir

Artikel Lain