suria

Brickfields Dipertimbang Sebagai 'Blind City' - Tengku Adnan

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjawab pertanyaan masyarakat awam pada sesi "Town Hall" Parlimen Bukit Bintang di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan mempertimbang untuk mengiktiraf Brickfields sebagai 'Blind City' kerana kawasan itu merupakan tumpuan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata bagaimanapun perkara itu perlu dibincangkan secara terperinci di peringkat kementerian sebelum dibawa ke Kabinet.

"Permintaan dari mereka (Pertubuhan Orang-orang Buta Malaysia untuk menjadikan Brickfields sebagai Blind City) akan difikirkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan perjumpaan 'Town Hall' (sesi dialog dengan penduduk setempat) untuk kawasan Bukit Bintang di sini, Sabtu.

Semasa sesi itu, seorang wakil dari pertubuhan tersebut mencadangkan supaya Brickfields diiktiraf sebagai Blind City supaya ia dikenali di serata dunia seperti Chinatown.

Mengenai masalah kerosakan kemudahan untuk OKU cacat penglihatan di sekitar Brickfields yang turut dibangkitkan semasa sesi itu, beliau berkata semua kemudahan tersebut akan diselenggara semula.

"Kita memang sentiasa memberi kemudahan dan membantu golongan OKU cacat penglihatan seperti menyediakan pusat urutan untuk mereka bekerja," kata Tengku Adnan.

Turut dibangkitkan oleh beberapa pembeli unit kedai projek Plaza Rakyat di Jalan Pudu, ialah mengenai status projek tersebut yang kini masih terbengkalai meskipun dijanjikan akan dimulakan pada Disember tahun lepas.

Beliau berkata projek berkenaan dijangka dimulakan tahun ini, bagaimanapun tiada sebarang tarikh ditetapkan.

"Kita juga akan berbincang dengan pemaju baharu sama ada mereka akan memberi pampasan kepada pembeli unit atau pembeli akan mendapat unit yang telah mereka beli selepas siap kelak," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain