suria

#KitaLawan: Adam Adli Sekali Lagi Ditahan

Adam Adli
PETALING JAYA: Aktivis Adam Adli pada Sabtu sekali lagi ditahan di himpunan mingguan #KitaLawan di kompleks beli-belah Sogo.

Adam Adli, atau nama sebenarnya Adam Adli Abdul Halim ditahan bersama-sama sekretariat #KitaLawan Mandeep Singh sebaik sahaja himpunan protes itu selesai.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata mereka ditahan kira-kira pukul 6 petang tadi mengikut Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan 143 Kanun Keseksaan. 

Menurut catatan di laman Facebook perhimpunan itu, @Kita Lawan, kedua-dua aktivis berkenaan dipercayai ditahan di kompleks berkenaan dan kini dibawa ke Lokap Balai Polis Jinjang.

Pada 21 Februari lalu, Adam Adli telah ditahan kerana menyertai himpunan yang sama di bawah Seksyen 141 Kanun Keseksaan kerana perhimpunan haram.

Terdahulu, pada pagi Sabtu, polis menahan Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong yang tiba di balai sama kira-kira pukul 10.40 pagi, diiringi dua peguamnya, Nicole Tan Lee Koon dan Wong Kah Woh bersama kira-kira 20 penyokong.

Teo berkata beliau menerima panggilan daripada polis semalam untuk memberi kerjasama dalam kes itu.

Sebelum ini, aktivis Jingga 13, Fariz Musa, Ketua Pemuda Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelana Jaya, Saifullah Zulkifli, Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Bendahari Pemuda PAS, Mohd Fakhrul Razi turut ditahan untuk disoal siasat berhubung kes berkenaan.

Perhimpunan mingguan itu yang tidak mendapat permit polis itu diadakan di hadapan pusat beli-belah Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman untuk menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat.

Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar dan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara lima tahun dihadapinya bagi kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 26 Jun, 2008.


Adam Adli, #KitaLawan

Artikel Lain