suria

Awas Bahaya Kanta Sentuh Kosmetik

Kanta sentuh yang dijual oleh peniaga tidak berlesan di salah satu bazar larut malam di Kuala Lumpur.

PETALING JAYA: Menjelang sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, pembeli pastinya akan membeli pelbagai keperluan fesyen terkini dengan harga terendah.

Namun terdapat satu keperluan fesyen yang mungkin menelan kos yang lebih besar berbanding ketika anda membuat penawaran iaitu kanta sentuh kosmetik.

Setiap bulan sekurang-kurangnya seorang di negara ini menjadi buta akibat kerosakan mata dan jangkitan disebabkan kanta lekap, kata Majlis Optik Kementerian Kesihatan Malaysia (MOC).

"Ini kerana ramai yang membeli kanta lekap, terutama kanta sentuh kosmetik dari penjual yang tidak sah di pasar malam, bazar, kedai-kedai kecantikan dan juga kiosk di pusat membeli-belah. Penjual tanpa lesen sah ini tidak berupaya memberi penerangan yang betul terutamanya mengenai cara untuk menggunakan kanta mereka.

"Setiap saiz kanta lekap tidak boleh digunakan untuk semua orang dan tidak semua orang boleh memakai kanta sentuh. Kanta yang tidak sesuai boleh menyebabkan kerosakan mata yang serius," demikian amaran oleh Setiausaha MOC, Nor Azizah Ismail.

Menurut beliau, kaedah yang betul dan selamat ialah pengguna perlu melakukan pemeriksaan mata dan mendapatkan preskripsi sebelum membeli mana-mana kanta lekap.

Di bawah Akta Optik 1991, hanya optometris dan juruoptik diperakui dan disahkan oleh MOC boleh menjual kanta lekap.

Kanta sentuh kosmetik termasuk kanta berwarna, kanta kesan khas atau kanta 'mata besar' (juga dikenali sebagai kanta anime) dibuat dalam dua versi iaitu untuk meningkatkan tahap penglihatan atau tanpa kuasa.

Tinjauan mendapati kanta sentuh kosmetik dengan preskripsi kuasa dijual di banyak gerai-gerai pasar malam, kedai-kedai kecantikan dan kiosk pusat membeli-belah.

Kanta sentuh kosmetik tanpa kuasa tidak dilindungi oleh Akta Optik 1991, tetapi Kementerian Kesihatan sedang dalam proses memasukkan jenis kanta itu di bawah akta berkenaan bagi memastikan hanya optometris dan juruoptik sah dan berdaftar layak untuk menjual kanta tersebut.

Di bawah Akta Optik, vendor kanta lekap yang tidak berlesen boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM1,000 bagi kesalahan pertama dan penjara selama enam bulan bagi kesalahan seterusnya.

"Pengguna yang terkena jangkitan mata atau buta terpaksa hidup menanggung akibatnya sepanjang hidup mereka.

"Oleh itu adalah penting untuk mereka memahami bahawa kanta sentuh kosmetik seperti kanta sentuh yang digunakan untuk membetulkan penglihatan boleh memberi risiko serius kepada kesihatan mata jika ia tidak digunakan dengan betul.

"Anda tidak boleh memakai kanta lekap tanpa pemeriksaan mata dan pengawasan yang berterusan oleh optometris dan juruoptik profesional yang disahkan," kata Nor Azizah.

Kanta Lekap, Kanta Sentuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Menanti 'Sabda' Hadi

Artikel Lain