suria

K-Pop: PAS Bimbang Wanita Islam Diperalat

KUALA LUMPUR: Tiga gadis bertudung yang mencetuskan kemarahan di kalangan masyarakat negara ini terus dikecam, malahan mereka dituduh menjadi alat pihak penganjur untuk menjatuhkan imej Islam.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau bimbang jika wujud usaha terancang khususnya daripada pihak penganjur dengan mengupah gadis-gadis berkenaan supaya berkelakuan sumbang didepan khalayak ramai.

"Saya bimbang perempuan-perempuan yang pakai tudung itu kemungkinan sebenarnya tak pakai tudung, tapi diupah atau disuruh pakai tudung supaya berkelakuan tidak bermoral," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS di sini, Isnin.

Mengulas lanjut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menggesa supaya pihak berkuasa menyiasat pihak penganjur dan identiti tiga gadis berkenaan.

"Saya minta siasatan dibuat oleh pihak berkuasa, saya bimbang penganjur sengaja cipta suasana untuk buat penghinaan terhadap Islam.

"Jika garis panduan dikeluarkan, apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berwajib kepada penganjur?" soalnya.

Beliau mengulas mengenai aksi anggota kumpulan pop Korea (K-Pop) memeluk tiga peminatnya yang bertudung ketika berada di pentas dalam konsert yang dianjurkan di sini baru-baru ini menjadi viral dan diperkatakan di laman sosial termasuk Facebook.

Selain itu, Mahfuz berkata, pihaknya kecewa dengan pihak berkuasa khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang dipercayai bertanggungjawab meluluskan konsert berkenaan.

"Kita bukan menolak hiburan tapi kesal sebab tak ada tapisan. Seolah-olah kementerian tidak melihat senarai aturcara program sebelum meluluskan lesen kepada penganjur.

"Jika sekadar nak buat persembahan biasa tak mengapa, tapi ini ada pula agenda berpelukan dengan wanita Melayu beragama Islam," katanya.

K-Pop, Mahfuz Omar, PAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain