suria

SPRM Diminta Siasat Jika Ada Bukti Penguat Kuasa KPDNKK Bersubahat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek bersalaman dengan para pegawai Penguat Kuasa KPDNKK yang beruniform baharu pada majlis Perhimpunan Bulanan dan Sambutan Hari Penguatkuasa KPDNKK di Putrajaya, baru-baru ini. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta untuk menyiasat sekiranya terdapat bukti mengenai dakwaan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersubahat dalam kegiatan penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi.

Presiden Kesatuan Pegawai Penguatkuasa Malaysia (KPPM), Rus Bakarurraini Shahfei berkata, kesatuan itu sentiasa memberi sokongan sepenuhnya kepada SPRM supaya membuat siasatan terperinci dan menyeluruh terhadap penguat kuasa yang terlibat dengan rasuah dalam isu tersebut.

"Sekiranya siasatan perlu dilakukan, saya berharap agar SPRM membuat siasatan menjurus kepada kenyataan akhbar yang menuduh secara terus penguat kuasa mengambil rasuah daripada pemborong.

"Sebagai satu entiti yang bertanggungjawab dengan keselamatan, imej dan integriti serta kedaulatan negara, pihak kami memandang serius perkara tersebut dan menegaskan tidak akan menyebelahi pegawai di dalam kesatuan ini atas  kesalahan yang dilakukan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebuah akhbar baru-baru ini mendedahkan bagaimana penyelewengan diesel bersubsidi sukar dibanteras apabila anggota agensi penguat kuasa secara berkumpulan melindungi sindiket dengan menerima rasuah 1 sen bagi setiap 1 liter diesel bersubsidi yang diselewengkan.

Rus Bakarurraini berkata, KPPM akan memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak penyiasat terutama SPRM bagi membolehkan penyiasatan berjalan lancar dan dilakukan pada bila-bila masa.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai dan pihak media diingatkan supaya tidak menunding jari kepada penguat kuasa KPDNKK dalam isu penyelewengan diesel dan petrol bersubsidi seolah-olah mereka bersekongkol dengan sindiket. 

Beliau mengingatkan semua pihak supaya jangan mudah membuat tuduhan terhadap penguatkuasa secara melulu tanpa fakta dan dokumen yang sahih. 

"Walaupun tidak dinyatakan secara khusus mengenai penglibatan penguat kuasa KPDNKK, namun tuduhan dan anggapan seperti ini adalah tidak adil terhadap pegawai penguatkuasa," katanya.

Menurut Rus Bakarurraini, semua pegawai penguat kuasa terutama yang bertugas di KPDNKK berada pada tahap integriti tertinggi, kukuh dan tidak mudah tergugat dengan amalan rasuah dan sogokan. 

"Kini seluruh anggota penguat kuasa bekerja keras memerangi pelbagai kegiatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak, terutama berkaitan penyeludupan diesel.

"Kegiatan ini dilakukan melalui “Operasi Titik” (Ops Titik) yang menekankan kepada pencegahan aktiviti penyeludupan diesel dan lain-lain berhubung bidang tugas yang telah diamanahkan kepada mereka (penguat kuasa)," katanya.

Sejak dilancarkan pada 15 Mei lalu, Ops Titik mencatatkan 124 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM5.39 juta.

Artikel Berikut

Artikel Lain