suria

Ops Titik: 124 Kes Dengan Nilai Rampasan RM5.39 Juta - KPDNKK

Pegawai Penguatkuasa KPDNKK memeriksa tangki simpanan minyak bersubsidi untuk diseludup keluar negara dalam Ops Titik baru-baru ini. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Operasi besar-besaran bagi membanteras penyelewengan dan penyeludupan minyak diesel dan petrol bersubsidi atau ‘Ops Titik’ mencatatkan sebanyak 124 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM5.39 juta sejak ia dilancarkan pada 15 Mei lalu.

Operasi itu dilaksanakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad berkata, kementerian sentiasa mempergiatkan usaha membanteras aktiviti berkenaan ia merugikan negara dan memberi kesan langsung kepada rakyat kerana subsidi yang sepatutnya dinikmati telah diseleweng oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Kementerian telah pun mengisytiharkan perang terhadap penyangak minyak diesel dan petrol bersubsidi yang mengakibatkan kerajaan kerugian berjuta ringgit.

“Satu operasi besar-besaran membanteras kegiatan ini dilancarkan pada 15 Mei lalu dan sedang berjalan sehingga penghujung tahun ini. Setelah 25 hari operasi dijalankan, sebanyak 124 kes dihasilkan dengan nilai rampasan berjumlah RM5,391,278.03,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Alias berkata, Ops Titik juga merupakan kesinambungan daripada operasi besar-besaran yang dinamakan Operasi Khas Diesel (OD) yang tertumpu di pelabuhan-pelabuhan utama seperti Kuantan, Pelabuhan Klang dan negeri-negeri berhampiran sempadan seperti Kedah, Perlis, Pulau Pinang.

Beliau menambah, OD mencatatkan nilai rampasan berjumlah lebih RM15 juta dan pembekuan akaun bernilai hampir RM40 juta.

“Jika dilihat dari segi angka, jumlah kes dan nilai rampasan semakin meningkat setiap hari. Ini menunjukkan kegiatan penyelewengan berlaku sepanjang masa.

“Ia dikesan didalangi secara bersindiket dan terancang oleh pihak tidak bertanggungjawab dan sering dilakukan bagi mengaut keuntungan dengan nilai jutaan ringgit hasil penyelewengan tersebut,” katanya.

KPDNKK pada Isnin mengumumkan akan membeku permohonan lesen pemborong minyak diesel dan petrol serta pembukaan stesen minyak baharu selama enam bulan mulai Selasa sehingga Disember ini.

Pembekuan permohonan lesen itu turut melibatkan pihak yang mahu menjadi penyimpan minyak diesel dan petrol bagi kegunaan industri dan domestik serta bagi kegunaan kapal-kapal.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain