suria

PAS Persoal Kelewatan Pendakwaan Kes Penyelewengan Dana 1Azam

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan tentang kelewatan pendakwaan kes bekas setiausaha politik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim yang disiasat berhubung penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam).

Beliau berkata sehingga kini peguam negara masih belum mengeluarkan kenyataan bila Suhaimi dan enam yang lain yang dipanggil untuk membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu akan dibawa ke muka pengadilan.

"Sehingga hari ini kes ini belum didengar atau dibawa ke muka pengadilan di mana-mana mahkamah yang ada di negara kita.

"Sesuatu yang agak pelik apabila peguam negara tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selepas mereka diikat jamin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, di sini, Selasa.

Beliau berkata apabila terdapat ikat jamin, ia bermaksud 'ada kes'.

Katanya, perkara ini telah diakui oleh SPRM selepas membuat siasatan rapi ke atas mereka dan kertas siasatan juga telah dikemukakan ke Pejabat Peguam Negara.

"Saya minta supaya peguam negara memberikan penjelasan terhadap perkara ini. Rasuah diakui sebagai wabak yang tidak dapat dikawal tetapi bila disiasat, disahkan ada kes yang boleh didakwa, tiba-tiba tiada dakwaan...adakah peguam negara tidak berhasrat untuk membawanya ke pendakwaan?," ujar beliau lagi.

Katanya, penjelasan peguam negara penting kerana kedudukannya boleh memastikan rasuah diperangi secara habis-habisan.

Pada 20 September lalu, Suhaimi yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil bersama enam lagi individu ditahan oleh SPRM untuk membantu siasatan penyelewengan dana 1Azam.

Program 1Azam merupakan inisiatif kerajaan yang diperkenalkan pada Januari 2010 untuk memberi peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar dalam sektor perniagaan, perkhidmatan dan pertanian.

Mereka dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 selepas ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain