suria

Pengarah JSJK Bersara

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Syed Ismail Syed Azizan tidak menyesal mempertaruhkan lebih daripada separuh hidupnya kepada pasukan polis.

Syed Ismail mengakhiri kariernya dengan bersara wajib pada Selasa selepas 36 tahun berkecimpung dalam agensi penguatkuasaan itu.

“Saya menyertai pasukan polis agak lewat sebenarnya iaitu ketika berumur 24 tahun, ini kerana semasa berusia 21 tahun keluarga menentang jika saya menjadi anggota polis," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini Selasa.

Menurutnya, bagi menuruti kehendak keluarga, beliau terpaksa menghabiskan pengajian sehingga ke peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan berkerja di sebuah bank selama dua tahun.

"Saya sentiasa teringin untuk menjadi anggota polis tetapi terpaksa mengikuti hasrat keluarga terdahulu, tetapi apabila berusia 24 tahun saya akhirnya menyertai polis sebagai inspektor pada 1 Oktober 1977.

"Pada April tahun kemudiannya saya telah ditukarkan ke Kelantan untuk berkhidmat di cawangan khas sebelum ditukarkan pula ke Pulau Pinang. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1984," katanya.

Beliau berkata, semasa berkhidmat selama tujuh tahun di cawangan khas, Syed Ismail telah memperolehi banyak pengalaman mengenai ancaman pengganas terhadap negara.

"Kemudian saya berkhidmat di Bahagian Disiplin Bukit Aman (1988-1989), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Kedah (1989-1991), pegawai penyiasat di Perak (1995-1996), penolong pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Biro Kebangsaan Interpol (1997-2002).

"Saya juga pernah berkhidmat sebagai timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (2002-2004), ketua Jabatan Siasatan Pulau Pinang (2004-2006), timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006-2007) and Ketua Polis Kedah (2007-2010) sebelum dilantik sebagai Pengarah JSJK pada 2010,” katanya.

Syed Ismail berkata, dirinya juga mempunyai kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika bersama pasukan polis selama 36 tahun.

"Semasa menjalani latihan sebagai pegawai polis dulu, skuad saya telah dihantar ke hutan untuk membiasakan diri dan ketika itu terdengar bunyi letupan tembakan.

“Kami terpaksa bersembunyi selama lima minit sebelum mengetahui bahawa salah seorang daripada rakan telah tertembak mati seorang lagi pelatih," katanya yang masih terbayangkan kejadian tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain