suria

Mayat Reput Tanpa Kepala Ditemui Terdampar Di Pantai Kuala Baru, Setiu

SETIU: Satu mayat reput tanpa kepala ditemui terdampar di Pantai Kuala Baru, Kampung Mangkok Penarik di sini pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Ab Rahman Raja Mohamed berkata, jantina mayat itu tidak dapat dipastikan berikutan keadaannya yang telah reput.

Mayat itu ditemui seorang nelayan, Zulkifli Mamat, 31, ketika berjalan di pantai berkenaan yang kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Penarik, katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

"Ketika ditemui keadaan mayat telah reput dengan tidak mempunyai kepala manakala kedua-dua kakinya tinggal dari paras lutut sahaja...sebahagian daripada daging mayat yang reput itu didapati masih terlekat pada tulang," katanya.

Katanya, mayat berkenaan dihantar ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan mengenal pasti jantinanya.

Katanya, siasatan awal mendapati tiada sebarang laporan mengenai orang hilang diterima polis dalam tempoh terdekat ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain