suria

Kerajaan Sasar Buka 50 KKR1M Tahun Depan - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan menyasarkan untuk membuka 50 buah Kedai Kain Rakyat 1Malaysia (KKR1M) pada tahun depan.

"Alhamdulillah, kita sasar 50 buah KKR1M tahun depan. Insya-Allah," kata perdana menteri menerusi akaun Twitternya pada Sabtu, yang mengulas tentang pautan twitter Bernama bertajuk 'KKR1M Semakin Mendapat Sambutan'.

Ia memetik Pengarah Urusan KKR1M Mohd Noor Mohd Amin sebagai berkata KKR1M, satu daripada produk jenama 1Malaysia, kini semakin mendapat tempat di hati rakyat apabila menjadi pilihan dan kerap dikunjungi orang ramai bagi mendapatkan kain berkualiti pada harga rendah.

Mohd Noor berkata memandangkan permintaan terhadap produk kain di KKR1M semakin tinggi, pihaknya merancang membuka lebih banyak cawangan kedai itu bagi memenuhi permintaan.

Pada masa ini, terdapat 19 cawangan KKR1M di seluruh negara dengan terbaru dibuka pada 18 Dis lepas di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Mohd Noor berkata beberapa lagi cawangan akan dibuka termasuk di Gerik, Perak dan Dungun, Terengganu, menjadikan kesemuanya 25 cawangan KKR1M pada tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain