suria

Dua Lelaki Diarah Bela Diri Kes Edar Dadah, Miliki Racun

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan dua lelaki membela diri terhadap empat pertuduhan mengedar dadah dan memiliki racun, dua tahun lepas.

Perintah itu diputuskan Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap P.K. Saravana Kumar dan Ung Sing Seng di akhir kes pendakwaan.

"Selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berdasarkan fakta yang jelas dan analisis DNA," katanya.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Saravana Kumar, 33, dan Ung, 50, dituduh mengedar dadah jenis heroin seberat 266.8g dan monoacetylmorphines seberat 19.9g di Mutiara Court, 33-02-02, Lorong Delima 20, Green Lane, di sini pada pukul 10.20 malam, 23 Mei 2011.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, mereka didakwa memiliki racun berjadual iaitu kafein seberat 42,117.2g dan klorokuin seberat 294.9g tanpa permit dan kebenaran sah daripada pihak berkuasa di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 (Disemak 1989) yang membawa hukuman penjara maksimum setahun, denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Zamani menetapkan 18 Feb depan sebagai tarikh bagi mendengar keterangan bela diri kedua-dua tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam S. Rethinakumar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

171 Pati Ditahan di Tawau

Artikel Lain