Kerajaan Setuju Lantik Senator OKU - Rohani - Semasa | mStar

Kerajaan Setuju Lantik Senator OKU - Rohani

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju melantik seorang Senator Dewan Negara daripada kalangan orang kurang upaya (OKU), kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata kementerian telah mencadangkan beberapa nama terdiri daripada mereka yang mempunyai pelbagai kecacatan seperti cacat penglihatan, pendengaran dan fizikal tetapi berkelulusan tinggi dan aktif yang boleh membawa suara golongan OKU ke Dewan Negara.

"Kerajaan telah memberi lampu hijau kira-kira dua minggu lepas.

"Kami harap nama (senator OKU) akan diumumkan secepat mungkin agar bakal senator boleh angkat sumpah dan menghadiri mesyuarat serta menjalankan tugas bagi pihak OKU di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Sebelum itu, Rohani menghadiri majlis ramah mesra bersama Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini.

Allahyarham Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh, seorang pakar ekonomi yang menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) merupakan Senator Dewan Negara pertama yang dilantik daripada kalangan OKU cacat penglihatan di negara ini.

Sementara itu, Rohani berkata kementerian akan mengusulkan kepada kerajaan untuk mengkaji semula kadar bagi membiayai makanan di institusi kebajikan di bawah kementerian.

Sebagai contoh, beliau berkata kos makanan untuk seorang penghuni di rumah anak yatim ialah RM8 untuk enam hidangan setiap hari.

"Saya memandang serius perkara ini...sebanyak RM8 untuk enam hidangan bagi setiap penghuni adalah satu jumlah yang berat khususnya dengan keadaan harga barang juga meningkat.

"Pada masa sama, kami kena pastikan anak-anak mendapat makanan seimbang, sihat dan membantu tumbesaran mereka," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melaksanakan Manual Penilaian Kualiti di setiap PSK yang menyediakan perkhidmatan perlindungan dan jagaan kepada kanak-kanak, mulai tahun depan.

"Manual kualiti ini akan diperluaskan kepada PSK yang memberi perkhidmatan kepada warga emas dan OKU. Selain itu, JKM akan mengredkan PSK kepada Gred A hingga C berdasarkan kriteria yang akan dibangunkan secara bersama antara JKM dan PSK.

"Penggredan ini penting untuk kementerian melaksanakan 'exit policy' serta mengenalpasti PSK yang akan menjadi pakar rujuk kepada lain-lain PSK," katanya.

Sementara itu, Rohani berkata sehingga September tahun ini, terdapat 46,864 NGO berdaftar dan daripada jumlah itu sebanyak 7,486 NGO adalah di bawah kategori kebajikan masyarakat.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui JKM menyediakan geran berjumlah RM27.5 juta yang diagih kepada 242 PSK di seluruh negara sehingga 2 Ogos lepas. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.

Artikel Lain

Bersatu umum keluar Pakatan Harapan