suria

Hapuskan Pemerdagangan Manusia Melalui Usaha Bersepadu - Ali Rustam

MELAKA: Usaha bersepadu melibatkan semua pihak perlu dilakukan bagi membanteras pemerdagangan manusia yang kini merupakan antara perniagaan paling menguntungkan, kata Pengerusi Yayasan Belia Dunia (WHY) Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata mereka yang terlibat dengan pemerdagangan manusia, termasuk ejen, meraih keuntungan cepat dan lumayan hingga berjumlah kira-kira USD32 bilion (USD1 = RM3.30) setahun kerana kegiatan ini tidak memerlukan modal besar untuk memulakannya.

"Perkara yang menyedihkan ialah majoriti mangsa terdiri daripada wanita dan remaja perempuan yang dipaksa menjadi pelacur, merangkumi 11.4 juta orang atau 55 peratus daripada keseluruhan jumlah buruh paksa.

"Setiap tahun, antara 700,000 dan dua juta wanita diseludup melalui sempadan antarabangsa untuk diperah keringat mereka melalui kegiatan perhambaan dan perkhidmatan seks," katanya dalam ucapan pada persidangan antarabangsa mengenai Pemerdagangan Wanita dan Kanak-kanak di sini malam Selasa.

Ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Melaka Datuk M.S Mahadevan.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Belia Dunia Varsha Ajmera.

Persidangan lima hari ini, yang bermula semalam, dihadiri 91 peserta dari 15 negara termasuk Amerika, United Kingdom, Singapura, Thailand dan Malaysia.

Mohd Ali berkata pemerdagangan manusia merupakan fenomena yang rumit untuk diselesaikan kerana ia melibatkan pelbagai pihak yang menjalankan peranan berbeza, manakala sindiket yang terlibat dengannya pula terdiri daripada individu dan rangkaian yang kompleks.

"Masalah ini memerlukan undang-undang dan penguatkuasaan secara ketat. Tetapi, di sesetengah negara, hukuman bagi pemerdagangan manusia lebih ringan daripada mengedar dadah. Ini perlu diubah. "Meningkatkan kesedaran mengenainya merupakan satu lagi langkah yang perlu diambil, termasuk melalui media, media sosial dan pelbagai kaedah lain," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain