suria

Keselamatan Di Sabah Dipertingkatkan

KOTA KINABALU: Sebuah kem tentera akan dibina di Felda Sahabat, di pantai timur daerah Lahad Datu, tidak jauh dari tapak pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu Februari lalu.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini merupakan beberapa langkah yang diperlukan untuk meningkatkan keselamatan di Sabah termasuk meningkatkan rangkaian pengumpulan maklumat serta menyediakan anggota keselamatan yang mencukupi dan penggunaan teknologi terkini.

Peningkatan keselamatan adalah antara tiga bidang keutamaan bagi Sabah, kata Perdana Menteri pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin komponen dan anggota parti Barisan Nasional (BN) negeri, di sini, Sabtu.

Beliau berkata teras lain bagi negeri ini seperti mempercepatkan program pembangunan, terutama di kawasan luar bandar, selain daripada menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat.

"Dari segi pembangunan, kita mahu melihat jurang pembangunan antara negeri ini dan Semenanjung dikurangkan," kata Najib.

"Kita akan memberi perhatian kepada Sabah dan menyediakan peruntukan kewangan yang diperlukan mengikut kemampuan kita."

Menyuarakan rasa terima kasih kepada rakyat Sabah kerana memberi 22 daripada 25 kerusi Parlimen kepada BN, Najib berkata rakyat telah mempamerkan kematangan politik mereka.

"Sabah telah menunjukkan bahawa ia bukan hanya mengubah kerajaan semata-mata tetapi mengubah kehidupan rakyat dan ini adalah apa yang telah dilakukan oleh Barisan dan akan terus berbuat demikian," katanya.

Terdahulu, beliau berkata momentum sokongan yang diperolehi di Sabah pada pilihan raya umum ke-13 mesti dikekalkan.

Beliau berkata, parti-parti komponen BN di negeri itu perlu membuat persediaan yang perlu bagi pilihan raya akan datang.

Ini adalah antara nasihat Najib yang diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno kanan Sabah dalam pertemuan 90 minit dengan mereka pada permulaan lawatan dua hari ke Sabah.

Naib Presiden Umno Datuk Mohd Shafie Apdal berkata Najib juga telah menyatakan penghargaan beliau kepada rakyat Sabah dan Sarawak untuk sokongan padu mereka kepada BN.

Beliau dijadual berada di Kuching hari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain