suria

PAS Yakin Tawan Terengganu Sebelum PRU-14 - Mat Sabu

BESUT: PAS yakin parti itu dapat merampas kembali pentadbiran Kerajaan Terengganu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan menafikan jumlah kerusi majoriti Barisan Nasional (BN) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada harapan bahawa PAS akan memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 24 Julai ini.

"Kemungkinan kita (PAS) akan ambil alih Terengganu sebelum PRU-14 iaitu setelah kita menang di Kuala Besut dan dua petisyen pilihan raya di negeri ini.

"Ini harapan kita. Perkara ini tidak pelik, ia boleh berlaku kerana rakyat inginkan perubahan itu," katanya ketika berceramah di Kuala Besut di sini, Isnin malam.

PAS pernah diberi mandat untuk mentadbir Terengganu antara 1999 dan 2004.

Sebelum ini PAS memfailkan dua petisyen pilihan raya iaitu di DUN Hulu Besut dan Kuala Berang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Pada pilihan raya kecil DUN Kuala Besut, PAS meletakkan matlamat untuk mewujudkan situasi 'DUN tergantung' 16:16 iaitu BN dan pakatan pembangkang mempunyai bilangan kerusi sama banyak di DUN.

DUN Terengganu mempunyai 32 kerusi yang menyaksikan BN menguasai 17 kerusi manakala pakatan pembangkang memiliki 15 kerusi (PAS 14, PKR satu) selepas PRU-13 lalu.

Selain itu Mohamad yang lebih dikenali dengan panggilan 'Mat Sabu' menegaskan bahawa parti mendokong konsep demokrasi dengan menyertai pilihan raya bagi meluaskan kuasanya termasuk sasaran merampas kembali pentadbiran Terengganu tanpa mencetuskan ketegangan politik.

"PAS memilih pilihan raya sebagai cara berdemokrasi...kita tidak keluar daripada landasan itu," katanya.

Artikel Lain