suria

Terengganu, Pahang, N.Sembilan & Putrajaya Diwarta Kawasan Larangan Pembakaran Terbuka

KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengisytiharkan seluruh negeri Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya sebagai kawasan larangan pembakaran terbuka, berkuatkuasa serta-merta.

Dalam kenyataan di sini pada Isnin, Ketua Pengarah JAS Datuk Halimah Hassan berkata larangan itu berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Bagaimanapun, katanya larangan tidak termasuk pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan, gril atau barbeku dan pembakaran gas mudah terbakar.

Beliau berkata larangan itu dibuat seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29A (2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.

"Mereka yang disabit kesalahan melakuan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, katanya dalam kenyataan itu.

Selain itu, Halimah berkata kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dan tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah serta premis milik mereka diceroboh pihak tidak bertanggungjawab sehingga berlaku pembakaran terbuka samada ada secara sengaja ataupun tidak.

Halimah juga meminta orang ramai di seluruh negara memberi kerjasama untuk memadamkan kebakaran kecil dan membuat laporan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta JAS mengenai sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

JAS boleh dihubungi menerusi talian 03-8889 1972 atau 1-800-88-2727 dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 03-8888 0336. Sementara itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Abdul Jabar Ahmad meminta masyarakat mengamalkan tujuh langkah bagi menjaga kesihatan semasa jerebu iaitu:

*Gunakan penutup hidung dan mulut sekiranya terpaksa melakukan aktiviti di luar rumah *Banyak minum air kosong, sekurang-kurangnya lapan gelas sehari. *Cuci tangan dan muka selepas melakukan aktiviti di luar. *Digalakkan untuk mandi dengan kerap. *Tinggal di dalam rumah dan kurangkan aktiviti di luar rumah. *Jika memandu, gunakan penghawa dingin dalam kereta. *Tutup pintu dan tingkap. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain