suria

Lupus BMW: Bekas DPP Merengkok Di Penjara Selepas Rayuan Akhir Ditolak

PUTRAJAYA: Seorang bekas timbalan pendakwa raya terpaksa merengkok dalam penjara selepas rayuan akhirnya berhubung sabitan dan hukuman bagi kesalahan cuba melupuskan sebuah kereta mewah milik isterinya yang dilaporkan dicuri tujuh tahun lepas, ditolak Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Wira Abu Samah Nordin mengekalkan hukuman penjara lapan bulan yang dijatuhi Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Lukman Zainuddin, 40.

Bagaimanapun, Abu Samah mengekalkan hukuman denda RM2,000 yang diputuskan Hakim Mahkamah Sesyen dan mengetepikan denda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi terhadap Lukman

"Kami berpendapat Hakim Mahkamah Tinggi tiada alasan untuk mengganggu budi bicara Hakim Mahkamah Sesyen dengan menaikkan jumlah denda itu," katanya.

Abu Samah, yang bersidang bersama hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Aziah Ali, memerintahkan Lukman menjalani hukuman penjara mulai Isnin.

Lukman, yang kelihatan tenang selepas keputusan itu, dihantar ke Penjara Kajang.

Dalam penghakimannya, Abu Samah berkata walaupun berlaku kesilapan menaip berhubung pertuduhan pindaan yang ditawar pihak pendakwaan, ia tidak prejudis kepada Lukman, dan perayu juga tidak keliru kerana pindaan itu cuma melibatkan masa, bukannya tarikh kejadian.

Beliau berkata kesilapan menaip itu juga tidak menyebabkan berlaku ketidakadilan undang-undang terhadap Lukman.

Pada 3 Disember 2010, Mahkamah Sesyen Klang menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2,000 selepas Lukman didapati bersalah mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Mahkamah Tinggi pada 31 Julai tahun lepas, menolak rayuan Lukman berhubung sabitan namun mengurangkan hukuman penjara 12 bulan kepada lapan bulan dan menaikkan jumlah denda daripada RM2,000 kepada RM20,000.

Lukman, yang bertugas sebagai Timbalan Pendakwa Raya antara 1997 dan 2002, didakwa cuba melupuskan sebuah kereta BMW 318(i)(A) bernombor pendaftaran ADT 6677 di Pangsapuri Putra Harmoni di Precinct 9, Putrajaya antara 11 malam 24 Mac 2006 dan 12.15 pagi 25 Mac 2006.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainuddin manakala perayu oleh peguam Hanif Hassan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain