suria

PKR Tolak Saranan 'Tidak Ikhlas' Najib Untuk Berdamai

PETALING JAYA: PKR telah menolak saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdamai, sambil mengatakan ia tidak ikhlas, kata Setiausaha Agung parti Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata adalah tidak masuk akal untuk meminta sebuah perdamaian apabila tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) nampaknya menunjukkan sebaliknya.

"Mulut anda mengatakan anda mahu berdamai, tetapi pada masa yang sama anda mengamalkan perkauman, memberitahu pengundi untuk meninggalkan negara ini jika tidak berpuas hati dengan sistem pilihan raya dan menangkap aktivis kita.

"Jika inilah perdamaian yang Najib kata, maka kita menolak sepenuhnya," katanya dalam ucapan penggulungannya pada kongres tahunan parti itu di sini, Sabtu.

Pada masa yang sama, beliau juga menjelaskan kelewatan keputusan pemilihan calon parti pada pilihan raya umum adalah kerana kekurangan calon wanita dalam senarai yang diberikan oleh kepimpinan parti negeri.

"Terdapat beberapa negeri yang tidak memasukkan mana-mana calon wanita di dalam senarai mereka, walaupun mengetahui dasar kita untuk meletakkan 30 peratus calon wanita dalam senarai calon.

Beliau juga menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim yang sebelum ini berdepan kritikan terhadap gaya kepimpinan tegar beliau untuk melibatkan diri dengan akar umbi lebih kerap, termasuk dari negeri-negeri lain.

Khalid sendiri dalam ucapannya juga mengakui beliau terlalu berjimat dalam pengeluaran dana untuk tujuan pembangunan.

"Saya tahu bahawa rakan-rakan saya berkata saya tidak tahu perjalanan politik. Saya menerima asas perjuangan politik apabila melibatkan tadbir urus, bermakna kita tidak boleh terlalu tegar.

"Saya menerima ini sebagai satu masalah," katanya, sebelum mengumumkan penubuhan pejabat perhubungan politik.

Beliau menambah dengan mandat yang baru, beliau akan berusaha untuk memperbaiki dan membangunkan kawasan luar bandar, dan berharap untuk mengurangkan jurang pendapatan antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar.

Artikel Lain