suria

Polis Tahan 10 Lelaki Terbabit Kes Pecah Kereta Dan Samun Di George Town

GEORGE TOWN: Polis menahan 10 lelaki berusia 16 hingga 27 tahun dipercayai terbabit kes pecah kereta dan samun bersenjata dalam dua tangkapan berasingan pada Jumaat dan Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Gan Kong Meng berkata dalam kes pertama, sepasukan anggota yang sedang melakukan Ops Cegah Jenayah di medan selera, Tanjong Bungah telah menahan tiga lelaki disyaki cuba memecah kereta di kawasan berkenaan.

Beliau berkata hasil soal siasat polis, suspek mengaku terlibat dalam 15 kes pecah kereta di sekitar daerah ini sejak Januari lepas membabitkan anggaran kerugian RM50,000 dan telah menjual barangan curi itu kepada seorang peniaga di pusat bandar.

"Susulan maklumat itu, kita telah menahan seorang lagi lelaki berusia 44 tahun dan telah merampas 41 telefon bimbit, 10 komputer riba dan pelbagai gajet elektronik di premis niaganya dan hasil saringan air kencing, dia juga didapati positif ganja," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Gan berkata kesemua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau meminta semua mangsa yang telah membuat laporan berikutan kes kecurian itu datang ke Balai Polis Pulau Tanjung Tokong untuk mengecam barang kepunyaan mereka.

Dalam kes berasingan, polis menahan enam lelaki berusia 18 hingga 27 tahun dipercayai telah menyamun sebuah kedai serbaneka di Sungai Dua, di sini dengan bersenjatakan parang dan pistol tiruan awal pagi Ahad lepas.

Katanya hasil risikan dan maklumat awam, polis memberkas kesemua suspek sehari selepas kejadian di sekitar Bukit Jambul dan Bayan Lepas.

Siasatan awal mendapati dua daripada suspek memiliki rekod jenayah melibatkan pelbagai jenayah samun dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan sebatan," katanya.-BERNAMA

Artikel Lain