suria

Isu Kain Rentang: Pembangkang Diminta Lapor SPR, Polis

ALOR SETAR: Barisan Nasional (BN) Kedah tidak pernah mengarahkan petugas pilihan raya parti itu untuk memasang kain rentang berbentuk provokasi terhadap pakatan pembangkang, kata Pengerusi BN Kedah Datuk Ahmad Bashah.

Sehubungan itu, beliau meminta parti pembangkang membuat laporan polis dan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat perkara itu bagi membolehkan tindakan diambil.

"BN bersih dan tak pernah arah ahli buat kerja macam ni. Orang dia (pakatan pembangkang) sendiri yang buat kain rentang kontroversi itu dan ambil kesempatan nak tuduh Umno dan BN yang buat demi nak dapatkan publisiti," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Semalam Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Kedah Zamri Ibrahim berkata pihaknya memberi tempoh 24 jam kepada pihak berkuasa mengambil tindakan dengan menurun kain rentang berunsur provokasi dan fitnah yang didakwa dibuat oleh parti lawan.

Pada sidang akhbar itu juga Zamri berkata akan mengambil tindakan jika pihak berkuasa gagal menurunkan kain rentang itu yang di kesan di beberapa kawasan seperti di Alor Setar, Kulim dan Langkawi. -BERNAMA

Artikel Lain