suria

5 Mei Pertembungan Terakhir Pairin, Jeffrey?

Joseph Pairin Kitingan
Joseph Pairin Kitingan
Joseph Pairin Kitingan

KENINGAU: Adakah 'permusuhan' politik antara dua beradik, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan adiknya, Pengerusi Parti Reformasi Negeri Sabah (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan, akhirnya "berkubur" pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) 5 Mei ini?

Pada pilihan raya umum sebelum ini, dua beradik ini telah bertembung dalam apa yang digelar 'ibu segala pertarungan' di Sabah, dengan Pairin setiap kali muncul sebagai pemenang.

Pada PRU-13, Jeffrey akan menentang Pairin yang sekali lagi dalam pertandingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Keningau, dengan seorang lagi calon, Stephen Sandor daripada PKR.

Kawasan itu mempunyai 35,578 pengundi. Presiden PBS itu juga akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan yang akan menyaksikan pertandingan lima penjuru.

Pada PRU 2008, Pairin mengalahkan Jeffrey dalam pertandingan tiga penjuru dengan majoriti 4,264 undi.

Kali ini, dua beradik akan bertarung untuk apa yang disifatkan sebagai 'pertarungan keyakinan', tetapi penganalisis politik meramalkan Pairin akan mengekalkan kerusi itu walaupun Star menggembar-gemburkannya sebagai cabaran kepada kematangan masyarakat Kadazandusun dan Murut dalam politik.

Tinjauan di Keningau, khususnya dalam kalangan komuniti Kadazandusun dan Murut, memberi petunjuk jelas Presiden PBS itu yang merupakan pemimpin agung atau 'Huguan Siou' Kadazandusun dan Murut, masih seorang pemimpin yang dihormati.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu adalah pemimpin moden kedua Huguan Siou selepas kematian pemimpin agung pertama Kadazandusun Murut, Allahyarham Tun Mohammad Fuad Stephens (sebelumnya Donald Stephens) yang juga bekas Ketua Menteri Sabah.

Masyarakat Kadazandusun dan Murut berpendirian bahawa institusi Huguan Siou yang dianggap suci bagi mereka mesti dilindungi.

Mereka berkata akan menjadi satu kehilangan besar untuk mengeluarkan Pairin daripada Parlimen berdasarkan pengalaman luas beliau di peringkat negeri dan badan perundangan peringkat pusat, yang mana tidak dimiliki Jeffrey.

"Jika Pairin kalah (di kawasan Parlimen) ia merupakan penghinaan kepada Huguan Siou kerana gelaran itu adalah suci bagi komuniti Kadazandusun dan Murut.

Bagi masyarakat ini, Pairin adalah pemimpin amat dihormati dan penjaga institusi Huguan Siou.

Sekiranya tidak menyokong Pairin, masyarakat itu akan memisahkan diri mereka daripada arus perdana politik negara, terutama jika mereka tidak boleh membentuk kerajaan.

"Tetapi untuk membentuk pakatan dengan PKR atau mana-mana parti pembangkang akan menjejaskan mereka kerana mereka tidak pernah berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan pembangkang," kata seorang usahawan Dusun di Keningau.

"Star malahan bukan sebuah institusi politik nasional memandangkan ibu pejabat parti itu adalah di Sarawak," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain