suria

13 Akan Dihadap Ke Mahkamah Kesalahan Berkaitan PRU-13 Esok

PUTRAJAYA: Seramai 13 lelaki akan dihadapkan ke mahkamah pada Selasa atas pelbagai pertuduhan membabitkan lima kes yang berkaitan dengan pilihan raya umum ke-13.

Ketua Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Abdul Wahab Mohamed berkata tujuh daripada lelaki itu akan didakwa berkaitan satu kes gaduh di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman awam di Mantin, Negeri Sembilan, pada 7 April lepas, mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata dua lagi akan didakwa kerana melakukan kesalahan yang sama dengan membaling kerusi dan memegang besi dalam satu kes di Pasir Puteh, Kelantan, pada 20 April lepas.

Menurutnya dua lagi, masing-masing didakwa bagi kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan dengan menumbuk serta menyepak mengikut Seksyen 323 kanun Keseksaan; dan menakutkan secara jenayah dengan menunjukkan parang ke arah pengadu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan; dalam satu kes di Gemas, Negeri Sembilan pada 19 April lepas.

Pada sidang media di lobi pejabat Peguam Negara di sini, Tun Abdul Majid au berkata seorang lagi didakwa kerana melakukan kesalahan menakutkan secara jenayah dengan menghayun parang ke arah pengadu dalam satu kes di Kuala Kangsar, Perak pada 18 April lepas mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, manakala satu lagi kerana melakukan khianat dengan mencabut bendera parti politik di Padang Serai, Kedah, pada 8 April lepas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Tun Abdul Majid berkata dalam tempoh dari 19 April sehingga pukul 2 petang ini, jumlah kes yang diarah untuk siasatan lanjut ialah 135, manakala kes yang diputuskan supaya tidak diteruskan berjumlah 113.

Beliau berkata antara kes yang diarah untuk siasatan lanjut ialah berkaitan kesalahan merusuh, memandu dengan gopoh di jalan awam, menyebut perkataan dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang, menyamar, khianat, ugutan jenayah dan lain-lain lagi.

Sementara itu merujuk kepada laporan akhbar mengenai dakwaan seorang pemimpin veteran pembangkang kononnya ada laporan risikan cawangan khas polis yang meramalkan pakatan pembangkang bakal memenangi 145 kerusi parlimen berbanding 77 kerusi bagi Barisan Nasional, yang kemudian dinafikan polis Jumaat lepas; Tun Abdul Majid berkata terdapat satu laporan polis berikutan insiden itu.

Beliau berkata oleh kerana perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa, pihaknya tidak dapat memberikan apa-apa penjelasan lanjut mengenainya. - BERNAMA

Artikel Lain