suria

Rumah Tempat Kurung Nayati Disewa Tertuduh Pertama - Saksi

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu sebuah rumah di Chemor, Perak, yang didakwa menjadi tempat mengurung seorang kanak-kanak Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, disewakan kepada seorang daripada tertuduh.

Mok Yew Yoong, 50, berkata tertuduh pertama iaitu Chong Tat Siong, 24, menyewa sebuah rumah setingkat semi-D miliknya pada 18 April 2012 dengan bayaran RM600 sebulan.

Wanita itu, yang mengecam Chong di kandang tertuduh, berkata Chong turut menandatangani perjanjian sewa rumah antara mereka dan memasukkan wang cagaran sebanyak RM2,800 ke akaun Public Bank miliknya.

Bagaimanapun, Mok gagal mengenal pasti tanda tangan Chong dan seorang lagi rakannya, Mu Tai Wai, yang terdapat pada dokumen perjanjian sewa rumah itu.

Mok berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran pada perbicaraan kes culik Nayati, 12, di depan Mont Kiara International School di Brickfields pada 7.30 pagi, 27 April 2012.

Turut didakwa bersama Chong ialah jurujual telefon bimbit Foong Khar Fai, 20, seorang penganggur Lee Phak Seng, 25, dan seorang lagi yang masih bebas mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Mok berkata beliau tidak pernah melawat rumah itu selepas disewakan kepada tertuduh.

Pada sesi pagi, mahkamah mendengar keterangan dua saksi dari Jabatan Kimia yang mengemukakan 71 bukti, termasuk sebuah kereta Proton Gen 2 yang digunakan penculik dalam kejadian itu.

Perbicaraan di depan Hakim Kamardin Hashim bersambung pada Rabu. - BERNAMA

Artikel Lain