suria

PAS Terus Persoalkan Tahap Keselamatan Negara Dengan Penganjuran LIMA

KUALA LUMPUR: Pihak pembangkang terus mempersoalkan tahap keselamatan di Malaysia yang dilihat mereka masih tidak cekap walaupun negara memiliki pelbagai peralatan pertahanan canggih.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata tahap keselamatan negara masih boleh dipertikai walaupun tahun ini penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) sudah masuk tahun ke-13 yang menyaksikan banyak pembelian peralatan pertahanan canggih dibuat melalui acara itu.

"Setiap tahun kita menganjurkan LIMA dan banyak peralatan pertahanan kita peroleh melalui perjanjian di LIMA sama ada peralatan peperangan, kenderaan, jentera, jet pejuang dan sebagainya.

"Kelemahan yang berlaku ialah sistem kawalan keselamatan pertahanan negara terus dipersoalkan seperti yang berlaku di Lahad Datu (Sabah)," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, di sini, Isnin.

Mahfuz berkata, pertahanan negara gagal mengesan penceroboh di Lahad Datu yang memasuki negara walaupun mempunyai peralatan canggih yang kebanyakannya dibeli melalui LIMA.

"Apakah yang dibuat melalui pembelian-pembelian yang begitu hebat dengan membeli peralatan canggih di sepanjang LIMA.

"Sudah berapa kali kita beli bermacam peralatan canggih tiba-tiba tak dapat kesan penceroboh yang masuk ke negara kita," katanya.

Dalam pada itu, ahli Parlimen Pokok Sena ini turut membandingkan jumlah penceroboh dengan jumlah tentera yang dihantar untuk menghapuskan penceroboh di Lahad Datu.

Katanya, pengganas Sulu yang memasuki negara hanyalah kira-kira 200 orang berbanding tujuh batalion tentera yang telah dikerahkan untuk menghapuskan mereka.

Beliau mendakwa isu di Lahad Datu menunjukkan kelemahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang gagal bertindak secara terbaik.

"MKN telah menyimpang daripada fungsi sebenar daripada menjaga pertahanan negara.

"Mereka bukan pintas penceroboh tetapi lebih berfungsi memintas e-mel dan SMS pembangkang," katanya.

Mengulas mengenai perjanjian bernilai RM4.2 bilion yang ditandatangani di LIMA 2013, Mahfuz berkata tindakan itu tidak wajar kerana mendakwa ia dibuat ketika mandat lima tahun yang diberikan rakyat kepada kerajaan telah tamat.

Katanya, mandat lima tahun diperoleh bermula dari tarikh Pilihan Raya Umum Ke-12 iaitu pada 8 Mac 2008 dan telah berakhir pada 8 Mac lalu.

"Dari segi perlembagaan memang masih kerajaan yang sah tetapi dari segi moral politik tempoh lima tahun sudah tamat.

Sebab itu sebelum ini pilihan raya umum dibuat setahun lebih awal sebelum tempoh tamat," katanya.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan 24 perjanjian membabitkan pelbagai aset dan perkhidmatan pertahanan bernilai RM4.2 bilion, ditandatangani antara Kementerian Pertahanan, syarikat industri pertahanan tempatan dan antarabangsa serta kerajaan negeri Pahang, pada LIMA 2013.

Artikel Lain