suria

Ahli Parlimen Stampin Dapat Restu Keluarga Untuk Timbang Semula Niat Bersara

KUCHING: Ahli Parlimen Stampin Datuk Yong Khoon Seng pada Ahad berkata beliau mendapat restu keluarga untuk menimbang semula hasratnya mengundur diri daripada bergerak aktif dalam politik sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memilihnya untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Kata tokoh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) ini, beliau menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan muktamad tentang perkara itu walaupun beliau telah beberapa kali mengumumkan hasratnya untuk mengundurkan diri bagi membolehkannya menumpukan lebih banyak masa terhadap keluarga.

"Saya sudah bincang perkara ini dengan keluarga saya dan mereka memahami kedudukan saya...jadi, sekarang saya perlu menimbang semula dan sekiranya rakyat masih mahukan saya, saya akan terus berkhidmat," kata Yong, 71, yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan dan majlis penyampaian anugerah pelajaran Persatuan Tung Yang Sarawak di sini.

Pada Jumaat, selepas memberi taklimat kepada Najib, yang juga pengerusi B Nkebangsaan, tentang persiapan parti itu dan status Stampin di Putrajaya, presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin berkata pemimpin tertinggi BN itu akan membuat keputusan muktamad tentang pemilihan Yong sebagai 'calon boleh menang' BN pada PRU-13.

Berikutan hasrat Yong untuk berundur setelah berkhidmat sebagai anggota parlimen selama lima penggal berturut-turut, jawatankuasa kerja pusat SUPP hanya mencalonkan setiausaha agung Pemuda SUPP Youth Wilfred Yap untuk dipertimbang sebagai calon bagi kawasan itu.

Ditanya tentang peluangnya mengekalkan kerusi Stampin untuk penggal keenam berturut-turut sekiranya dipilih untuk mempertahankannya, lebih-lebih lagi memandangkan tiga kerusi negeri di kawasan itu disandang pembangkang - Kota Sentosa dan Batu Kawah oleh DAP, manakala Batu Lintang oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) - Yong berkata arah aliran pengundian dan isu dalam pilihan raya parlimen berbeza daripada pilihan raya negeri.

Pada pilihan raya parlimen 2008, Yong mengekalkan kerusi itu dengan mengalahkan Voon Lee Shan daripada DAP dan See Chee How (PKR) dengan majoriti 3,070 undi.

Walaupun belum dihubungi mana-mana kepimpinan tertinggi BN, termasuk Najib, tentang kemungkinan beliau dipilih sebagai calon, Yong berkata ramai rakannya daripada SUPP meminta beliau menimbang semula rancangan untuk mengundurkan diri.

Selain Chin, ketua SUPP Cawangan Sibu Datuk Seri Wong Soon Koh juga berharap Yong bersetuju mempertahankan kerusi Stampin untuk parti itu kerana beliau merupakan calon yang mempunyai peluang paling cerah untuk menang di kawasan Kuching, di mana SUPP diperuntukkan dua kerusi - Stampin dan Bandar Kuching.

SUPP, yang kehilangan kerusi parimen Bandar Kuching pada pilihan raya parlimen lepas dan Sibu pada pilihan raya kecil 2010, juga akan bertanding bagi kerusi parlimen Serian, Sarikei, Lanang, Sibu dan Miri. - BERNAMA

Artikel Lain