suria

Golongan Tidak Cemerlang Akademik Boleh Pilih Bidang Teknikal

JERLUN: Golongan muda yang tidak begitu cemerlang dalam akademik disarankan memilih kursus kemahiran teknikal kerana ia mampu memberi peluang pekerjaan yang baik serta gaji lumayan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata penerimaan industri terhadap lulusan institusi teknikal seperti GiatMara berada pada tahap yang tinggi.

Katanya kini penyertaan golongan muda bagi kursus teknikal dan kemahiran bukan hanya pilihan kedua malah ada yang menjadikannya sebagai pilihan pertama untuk melanjutkan pengajian.

"Walaupun akademik tak berapa cemerlang, tetapi mereka ada kemahiran tinggi. Contohnya kimpalan, anak-anak muda yang SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tak berapa bagus jika diberikan latihan kemahiran seperti kimpalan, gaji boleh sampai RM30,000, lebih tinggi daripada pegawai bank. "Maksudnya jangan perlekeh bidang vokasional, politeknik, teknikal, kemahiran ini. Tanpa kelulusan akademik tinggi pun boleh dapat gaji lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Ekspo Mini Mara dan Kampungku Mahir peringkat Kedah, di sini, Jumaat.

Mukhriz yang juga Timbalan Pengerusi Umno Kedah meminta agar anak-anak muda di kawasan itu agar tidak terus berputus asa dengan keputusan peperiksaan SPM yang tak cemerlang, sebaliknya mencari alternatif untuk kejayaan masa depan.

Sementara itu, Mukhriz berkata GiatMara telah melancarkan Skuad Teknikal GiatMara bagi memberi khidmat kepada masyarakat di luar bandar.

"Mereka dilatih dalam bidang permotoran, kejuruteraan, elektrikal serta jahitan. Skuad ini ada di setiap kawasan Parlimen. Ada 231 skuad di seluruh negara dengan purata 20 orang setiap skuad," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain