suria

Tiada Halangan Penjawat Awam Sertai Politik - TPM

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak menghalang penglibatan penjawat awam dalam parti politik namun mereka perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata satu pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengenai penglibatan kakitangan awam dalam mana-mana parti politik namun mereka tidak boleh melakukannya ketika waktu bekerja.

"Sekiranya wujud dakwaan, kita perlu ada laporan secara rasmi. Pihak JPA akan menyiasat terlebih dahulu sama ada ia mempunyai asas atau tidak.

"Kita tidak boleh bertindak hanya kerana ada seseorang mengatakan individu tertentu terlibat dengan politik pembangkang," katanya ketika sesi soal jawab pada Majlis Perhimpunan Khas Timbalan Perdana Menteri bersama Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Beliau berkata sekiranya ada laporan rasmi diterima ia akan disiasat secara telus dan adil tanpa sebarang diskriminasi.

Sementara itu Pengerusi Cuepacs, Datuk Omar Osman menyeru penjawat awam yang ingin terlibat dengan aktiviti politik agar mendapatkan kebenaran daripada ketua jabatan masing-masing terlebih dahulu.

“Kita memang ada pekeliling yang mengikat penjawat awam. Mereka perlu minta kebenaran jabatan masing-masing terutamanya penjawat awam daripada Gred 1-40 (kumpulan pelaksana).

“Tak kisah parti politik apa sekalipun jika dia (penjawat awam) tidak meminta kebenaran ketua jabatan, tindakan boleh diambil dan surat tunjuk sebab boleh dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut berharap penjawat awam yang mahu terlibat dalam aktiviti politik membuat permohonan secara rasmi kepada ketua jabatan masing-masing menyatakan mereka akan terlibat dengan aktiviti sedemikian selepas waktu pejabat.

“Kita tidak mahu apabila penjawat awam terlibat tanpa mendapat kebenaran dan bila dikenakan surat tunjuk sebab, tindakan tatatertib boleh diambil. Ini akan menimbulkan masalah di kemudian hari.

“Bagi Cuepacs kita sebagai penjawat awam kita telah tanda tangani aku janji, ikrar perkhidmatan awam lebih baik kita tumpukan kepada agenda kita sebagai kakitangan kerajaan,” katanya.

Artikel Lain