suria

Pengamal Media Perlu Sentiasa Bersedia Ketika Bertugas Di Luar Negara

JELEBU: Pengamal media di negara ini dinasihatkan untuk sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang boleh mengancam keselamatan diri sewaktu menjalankan tugasan di luar negara.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pengamal media tidak boleh menganggap diri mereka sentiasa dilindungi dan sebaiknya mereka mengelak daripada melawati negara yang boleh membawa ancaman keselamatan.

"Misalnya, sekiranya seseorang itu mahu pergi ke negara yang bergelut dengan kemelut peperangan ataupun dalam keadaan huru hara, kita harus meletakkan negara itu di belakang dalam pemilihan kita.

"Kita tidak boleh terus tentukan bahawa kita akan diberi perlindungan misalnya, ataupun insurans yang ada pada kita ia tidak boleh menjamin kita boleh menjayakan tugas kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke rumah Anggota Dewan Undangan Negeri Chennah sempena perayaan Tahun Baharu Cina, di Titi, di sini Ahad.

Beliau diminta mengulas mengenai insiden yang menimpa Penerbit Bahasa Inggeris portal berita Al-Jazeera, mendiang Claudia Theophilus, yang terbunuh akibat terkena tembakan secara tidak sengaja di Lebanon, Sabtu lalu.

Di samping melahirkan rasa dukacita di atas kejadian itu, Rais berkata soal keselamatan terutama yang boleh mengancam nyawa tidak boleh dipandang ringan dan seseorang pengamal media itu sebaiknya menyerahkan tugasan itu kepada pihak lain jika khuatir tentang keselamatan dirinya.

"Nyawa sangat bernilai dan apabila kecederaan berlaku atau ditimpa maut misalnya hal ini tidak dapat kita huraikan lagi, jadi kita perlu sentiasa bersiap sedia dan etika bagi membuat liputan di luar negara perlu dipatuhi sebelum sesuatu itu dirancang," katanya.

Terdahulu, Rais yang juga Anggota Parlimen Jelebu berkata, sambutan perayaan Tahun Baharu Cina kali ini yang turut dirayakan bersama masyarakat lain menunjukkan keakraban hubungan pelbagai kaum di negara ini sekali gus mencerminkan kejayaan gagasan 1Malaysia.

"Kerapatan ini kita nilai dalam menjayakan budaya kita iaitu memberi penghormatan dalam agama masing-masing selain daripada kita mengisi tuntutan kemasyarakat negara ini.

"Kita berharap selepas ini kita dapat menjayakan nilai-nilai murni dan perubahan sikap serta cara kita untuk membantu antara satu sama lain," katanya. -- BERNAMA

Artikel Lain