suria

Operasi RapidKuantan Berpindah Ke Hentian Bas Sementara Pasar

KUANTAN: Operasi perkhidmatan bas RapidKuantan akan dipindahkan dari Terminal Makmur ke Hentian Bas Sementara Pasar mulai Rabu ini bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf terminal tersebut untuk keselesaan orang ramai.

Ketua Pegawai Operasi RapidKuantan, Zainurul Hakim Mohamed berkata pemindahan sementara operasi itu akan berlanjutan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak oleh Majlis Perbandaran Kuantan.

"Bagaimanapun, segala butiran lain mengenai operasi khususnya laluan dan kekerapan bas adalah seperti yang dijadualkan dan boleh disemak di laman web www.rapidkuantan.com.my," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf Terminal Makmur dijangka siap April depan.

Menurutnya dengan pemindahan sementara itu, laluan-laluan RapidKuantan adalah antara Hentian Bas Sementara Pasar dan Gambang; Hentian Bas Sementara Pasar dan Taman Indera Sempurna; Indera Mahkota dan Teluk Cempedak; Taman Impian dan Polisas; Hentian Bas Sementara Pasar dan Bukit Sagu, Hentian Bas Sementara Pasar Pekan serta Hentian Bas Sementara Pasar dan Sungai Lembing. -- BERNAMA

Artikel Lain