suria

Kematian Misteri 13 Gajah Borneo Kejadian Sedih Bagi Sabah - MCPF

KOTA KINABALU: Naib pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menyifatkan kematian penuh misteri 13 gajah spesies Borneo Pygmy di Hutan Simpan Gunung Rara di Tawau sebagai suatu kejadian yang amat menyedihkan bagi usaha pemuliharaan di Sabah.

Lee berkata sebagai pencinta haiwan, beliau amat sedih dengan kematian gajah Borneo yang amat istimewa dan diancam bahaya itu.

"Saya menyokong penuh kenyataan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun bahawa sekiranya gajah berkenaan mati akibat diracun, maka mereka yang terlibat perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan dihukum kerana jenayah yang mereka lakukan terhadap haiwan ini," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Lee berkata gambar yang menunjukkan seekor anak gajah yang cuba membangunkan ibunya yang sudah mati, sungguh menyayat hati dan boleh membuat pencinta haiwan mengalirkan air mata.

Menurut laporan media, kematian gajah berkenaan mungkin berpunca daripada perbuatan meracun kerana bedah siasat menunjukkan usus haiwan terbabit mengalami pendarahan teruk, dengan setengahnya mengalami pendarahan pada mulut dan anus, kata beliau.

"Sekiranya racun perosak atau sebarang jenis racun lain digunakan untuk membunuh gajah ini, yang mengakibatkan mereka begitu sengsara sebelum mati, maka ia merupakan suatu kekejaman terhadap haiwan dan perbuatan ini perlu dipandang serius, manakala mereka yang bertanggungjawab mengenainya pula, perlu didakwa," kata beliau.

Lee juga menyambut baik tindakan Jabatan Hidupan Liar Sabah menubuhkan pasukan petugas yang melibatkan WWF dan polis untuk menjalankan siasatan menyeluruh tentang kejadian menyedihkan itu.

Beliau berkata pihak berkuasa berkenaan perlu menghantar kesej jelas kepada mereka yang bertanggungjawab menyebabkan kematian haiwan yang diancam kepupusan itu bahawa perbuatan mereka tidak akan dibiarkan begitu saja dan mereka akan didakwa.

"Kalau pun gajah-gajah ini mungkin memasuki ladang dan kampung serta mengakibatkan kerugian kepada pemiliknya, maka ia boleh ditangani oleh Jabatan Hidupan Liar," kata Lee. - BERNAMA

Artikel Lain