suria

SPA Terima 1.1 Juta Permohonan Isi Kekosongan Perkhidmatan Awam

MUAR: Sehingga kini terdapat 1.1 juta permohonan baharu dalam pangkalan data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk mengisi pelbagai kekosongan jawatan dalam sektor awam negara.

Timbalan Setiausaha (Pengambilan) SPA Zainal Abidin Ahmad berkata pada tahun lepas sahaja sebanyak 832,701 permohonan baharu dicatatkan.

"Daripada 1.1 juta permohonan dalam data bank SPA, sebanyak 46,000 pelantikan baru telah dilakukan tahun lepas untuk mengisi kekosongan pelbagai jawatan.

"Ini termasuk 36,000 mengisi kekosongan jawatan secara tetap manakala selebihnya secara kontrak," katanya kepada pemberita selepas sesi interaksi Pengerusi SPA dengan ketua-ketua jabatan persekutuan, badan berkanun, persatuan dan badan bukan kerajaan, di sini, Rabu.

Katanya daripada jumlah permohonan baharu itu, 12 peratus atau 99,385 permohonan adalah dari Johor.

Dari segi pecahan kaum pula, Zainal Abidin berkata bilangan pemohon bukan Melayu masih kurang, terutama yang berketurunan Cina.

"Sehubungan itu kita mengadakan hubungan erat dengan pertubuhan kaum Cina dan India serta media massa bahasa berkenaan untuk bersama-sama menyebar maklumat agar lebih ramai memohon berkhidmat dengan kerajaan kerana SPA adalah untuk semua," katanya.

Menurutnya berbanding kaum lain, pemohon kaum Cina lebih bertumpu kepada jawatan peringkat lebih tinggi iaitu kelompok pengurusan dan profesional. - BERNAMA

Artikel Berikut

1.14 Juta Sertai Skuad Muda KDN

Artikel Lain