suria

Isu Air: AMK Selangor Akan Adakan Perhimpunan, Mohon Campur Tangan Sultan Selangor

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor membuat keputusan memohon ihsan dan campur tangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menyelesaikan krisis air yang tidak berkesudahan di Selangor.

Ketua AMK Selangor Azmizam Zaman Huri berkata, pihaknya akan mengadakan satu perhimpunan aman untuk menyerahkan memorandum yang disifatkan sebagai penyelesaian terakhir untuk isu ini.

"Kita tengok sudah tidak ada cara lain lagi. Kita minta sangat-sangat Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk campur tangan dalam isu ini dengan memberi nasihat kepada Syabas supaya menyerahkan pengurusan air terawat kepada kerajaan Negeri Selangor.

"Saya menyeru mana-mana rakyat yang ingin bersama-sama meluahkan rasa tidak puas hati dengan Syabas untuk hadir ke perhimpunan yang akan kita adakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, dekat sini, Isnin.

Azmizam yang juga naib ketua AMK Malaysia berkata perhimpunan aman yang dinamakan Himpunan Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat itu akan diadakan pada 25 Januari ini di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang, selepas solat Jumaat.

"Seterusnya ia akan diteruskan dengan perarakan ke Istana Alam Shah untuk merafak sembah dan menyerahkan memorandum merayu ihsan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor supaya berkenan untuk campur tangan dan menggunakan kuasa yang diperuntukkan kepada baginda bagi membantu usaha kerajaan Negeri Selangor dalam mengambil alih Syabas dan menguruskan sepenuhnya urusan pembekalan air kepada seluruh rakyat Selangor," katanya.

Menurut Azmizam pihaknya pernah mengambil tindakan serupa dengan berhimpun dan menyerahkan memorandum mendesak Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tan Sri Rozali Ismail menyerahkan syarikat konsesi air itu kepada kerajaan Negeri Selangor tetapi usaha mereka gagal.

"Kita sudah hantar memorandum. Kali terakhir pada 23 Julai 2012...sebanyak tujuh perkara kita tuntut daripada pihak Syabas tapi tidak diendahkan.

"Pada Disember 2010 kita adakan perhimpunan aman di Masjid Negara dan serah memorandum kepada Yang Di-Pertuan Agong untuk campur tangan dalam menyelesaikan masalah air terawat di Selangor dan Kuala Lumpur ia juga tidak diendahkan," katanya.

Beliau mendakwa isu ini sengaja dipolitikkan secara melampau oleh pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang berterusan memanipulasi isu air berpunca akibat keengganan kerajaan Negeri Selangor memberi kelulusan projek Langat 2.

"Realiti sebenar adalah sebaliknya. Hakikatnya Syabas selaku syarikat konsensi yang diberikan kontrak menguruskan bekalan air terawat kepada rakyat Selangor gagal melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Selangor, kali ini kita lihat Umno ambil kesempatan melalui Syabas...dengan menggunakan Syabas...dengan menakutkan rakyat di Selangor seolah-olah Selangor mengalami masalah air serius," katanya.

Isu air di Selangor timbul apabila kerajaan Negeri Selangor enggan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam melaksanakan projek pembinaan Loji Langat 2.

Artikel Lain