suria

Jangan Lobi Jadi Calon PRU13 -Tengku Adnan

PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Mansor memberi amaran kepada sesiapa yang mahu menjadi calon BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 agar tidak mengambil jalan mudah dengan melobi.

Adnan berkata calon-calon yang telah disenarai pendek adalah mereka yang dimahukan oleh rakyat dan telah melalui proses pemeriksaan yang terperinci.

"Saya nasihatkan mereka yang ingin menjadi calon tidak perlu cuba mendekati atau bertemu pemimpin parti atau saya sendiri untuk melobi supaya mereka dipilih.

"Perkara seperti ini tidak perlu kerana nama mereka yang terpilih akan diserahkan kepada ibu pejabat BN melalui saluran yang sesuai. Jangan ambil mudah dengan menggunakan taktik yang tidak baik kerana kami mempunyai kriteria tersendiri dalam soal pemilihan calon," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Bantuan Awal Persekolahan RM100 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) di sini pada Sabtu.

Tengku Adnan yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai pemimpin yang melobi pada saat-saat akhir untuk menjadi calon pilihan raya umum akan datang. Beliau berkata pemimpin yang melobi untuk menjadi calon hanya akan menunjukkan mereka tidak berniat untuk menjadi wakil rakyat sebaliknya demi 'perkara-perkara lain'.

Apa yang penting ialah mereka yang ingin menjadi calon mesti sedar bahawa mereka adalah 'hamba rakyat', katanya.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata semua calon BN yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-13 selesai melalui proses saringan termasuk oleh polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

Khamis lepas, Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembahagian kerusi antara parti komponen BN sudah hampir selesai dan sebahagian besar penentuan calon yang bertanding pada pilihan raya umum akan datang juga telah diputuskan. -BERNAMA

Artikel Lain