suria

Kastam Melaka Rampas Rokok Seludup Bernilai RM3.4 Juta

MELAKA: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya merampas rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM3.4 juta termasuk cukai menerusi dua operasi dalam tempoh lapan hari pertama tahun ini.

Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Said berkata rampasan terbaharu ialah pada pukul 10 pagi hari ini di Km 245.7 Lebuhraya Utara-Selatan, membabitkan 3,078,400 batang rokok keretek bernilai RM1.9 juta.

"Tiga buah kereta dipercayai tonto mengiringi lori berkenaan namun melarikan diri sebaik menyedari kenderaan JKDM dengan empat anggota cuba menghampiri lori itu," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini.

Pihaknya turut menahan pemandu lori berusia 39 tahun itu bagi membantu siasatan.

Menurut Mohd Nasir, JKDM Melaka melakukan rampasan pertama pada Jumaat lalu selepas menahan sebuah lori, juga di Lebuhraya Utara-Selatan, berdekatan susur keluar Seremban, Negeri Sembilan.

Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut pasukan penguat kuasa menemui 2.8 juta batang rokok bernilai RM1.5 juta termasuk cukai, katanya.

Katanya pemandu lori tersebut bagaimanapun berjaya melarikan diri.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang membawa hukuman mengikut Seksyen 135 (1)(iii)(aa) akta sama, iaitu didenda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali nilai dagangan atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Lain