suria

Mayat Lelaki Dipercayai Jatuh Dari Bangunan Sekolah

KOTA TINGGI: Mayat seorang lelaki ditemui setelah dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan Sekolah Kebangsaan Tun Dr Syed Nasir, Felda Pasak, di sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Che Mahazan Che Aik berkata lelaki terbabit dipercayai berada di sekolah itu untuk mencuri wayar tembaga dan mayatnya ditemui tukang kebun sekolah itu pada 7.15 pagi ketika hendak memotong rumput.

"Polis menemui pemotong wayar, tiga gulung wayar tembaga serta motosikal dipercayai milik lelaki terbabit yang ditinggalkan tidak jauh dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini, Selasa.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

Sementara itu, guru besar sekolah tersebut, Tugi Wagiman berkata dia bergegas ke lokasi penemuan mayat setelah dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu.

"Mujurlah segala proses pendaftaran murid sudah diadakan pada minggu lalu dan bukannya hari ini.

"Jika tidak, pasti akan menimbulkan keadaan kurang selesa kepada ibu bapa dan murid-murid," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain