suria

Kerajaan Kedah Diseru Subur Peluang Belajar Tidak Formal

ALOR SETAR: Pengerusi Anggota Jemaah Pemangku Sultan, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah hari ini menggesa kerajaan negeri supaya menyuburkan peluang belajar secara tidak formal di Kedah.

Beliau memberi contoh peluang belajar yang boleh diperluas seperti program ilmu di masjid, pembelajaran secara maya, menambah bilangan perpustakaan awam serta mengadakan program galakan membaca dalam kalangan generasi muda.

"Pembangunan modal insan yang berkualiti berkait rapat dengan minat dalam kalangan ahli masyarakat untuk menguasai ilmu pengetahuan.

"Tumpuan kerajaan untuk memajukan bidang pendidikan dan pembangunan insan adalah langkah yang tepat. Kemajuan negeri ini dalam jangka panjang bergantung kepada tenaga manusia yang berilmu, amanah dan patriotik," katanya ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini.

Beliau turut menyarankan agar pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) terus berusaha meningkatkan kemasukan pelajar sama ada dari kalangan pelajar tempatan atau antarabangsa.

Tunku Annuar berkata yang lebih utama ialah mempertingkat program akademik agar Kuin dapat dinaik taraf menjadi sebuah universiti.

Beliau berkata sejarah membuktikan bahawa Kedah merupakan antara negeri terawal menyediakan kemudahan pendidikan secara terusun kepada rakyatnya. -BERNAMA

Artikel Lain