suria

Dewan Muslimat PAS Kemuka 31 Nama Calon Wanita Untuk PRU-13

KOTA BARU: Dewan Muslimat PAS berharap untuk menyaksikan wakil mereka diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Di samping itu mereka juga berharap status quo kerusi yang sedia ada dikekalkan, di samping mengharap ada pertambahan calon mewakili muslimat di setiap negeri. Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, untuk itu, mereka telah pun menyerahkan 31 nama calon mengikut negeri-negeri untuk pertimbangan PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama.

“Muslimat berharap sekurang-kurangnya diberi satu kerusi Parlimen dan satu kerusi Dun di setiap negeri,” katanya sebagaimana yang dipetik oleh portal rasmi PAS, Harakahdaily.net.

Menurut portal itu lagi, ini bermakna 14 negeri termasuk Sabah dan Sarawak akan ditampilkan dengan calon-calon Muslimat.

Kata Siti Zailah, usaha itu dilakukan bagi membolehkan suara Muslimat berada di peringkat penggubal dasar sama ada di Dewan Undangan Negeri atau parlimen.

Beliau juga dipetik sebagai berkata, suara Muslimat perlu berada di peringkat penggubal dasar bagi membolehkan usaha memartabatkan golongan wanita lebih menyeluruh dan berkesan.

Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, pendekatan Tahaluf Siyasi yang diamalkan oleh PAS ternyata berjaya membentuk lanskap baru politik di negara ini.

Menurutnya kaedah Tahaluf Siyasi berjaya menarik sokongan bukan Muslim mendekati perjuangan PAS.

“Apa yang kita buat berteraskan prinsip dan akidah berdasar al-Quran dan Sunnah serta ijmak ulama. Jadi Insya-Allah tidak ada masalah dan tiada kompromi dalam isu ini,” ujarnya.

Beliau juga berkata, Dewan Muslimat akan turun ke seluruh negara bagi menterjemahkan konsep Negara Berkebajikan bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Artikel Lain