Suami, Isteri Dan Cucu Maut Dihempap Buah Sawit Di Chini - Semasa | mStar

Suami, Isteri Dan Cucu Maut Dihempap Buah Sawit Di Chini

PEKAN: Sepasang suami isteri dan cucu mereka yang berusia setahun maut dalam satu kemalangan membabitkan sebuah lori membawa buah kelapa sawit dan dua buah kereta di Kilometer 9, Jalan Salong-Chini, dekat Pekan, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Pekan Supt Yahaya Othman berkata, kejadian pukul 2.30 petang itu meragut nyawa pemandu kereta Perodua Kancil, Abdul Malek Mohamed Saman, 62; isterinya, Faridah Hamzah, 56; dan cucu mereka, Nur Syafiqa Shalily Mohd Khairul Nizam, setahun; kesemuanya dari Felda Chini 4, dekat sini.

"Ketika tiba di tempat kejadian, buah kelapa sawit lebih muatan yang dibawa oleh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba terjatuh dan menghempap kereta Kancil," katanya kepada pemberita di sini.

Menurut Yahaya pada masa yang sama sebuah kereta Proton Iswara yang berada di belakang kereta Kancil itu tidak sempat mengelak lalu melanggarnya mengakibatkan pemandunya patah tangan.

Katanya semua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Pekan untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Beliau berkata pemandu lori sawit itu kini ditahan untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan