suria

Wakil Rakyat BN, Pembangkang Rayu Kerajaan Kaji Semula AES

KUALA LUMPUR: Kerajaan dirayu agar mengkaji semula penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) apabila kaedah berkenaan disifatkan membebankan rakyat.

Ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2013, Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) melahirkan kebimbangan dan keraguan mengenai matlamat pelaksanakan AES.

"Kita tahu AES adalah untuk mengurangkan kemalangan tetapi adalah wajar juga untuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenainya. Kita tidak mahu ia menjadi satu perangkap atau untuk mengaut keuntungan," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan.

Ia bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan selain mampu mengurangkan kemalangan maut.

Kebimbangan Sim turut disokong Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) apabila mengharapkan kerajaan menangguhkan pelaksanaan AES supaya peraturan berkenaan tidak membebankan rakyat.

"Kita berharap perkara ini ditangguhkan...jangan menganiya rakyat. Kalau boleh kita harap kerajaan dapat turut mansuhkan saman saman lebih 60,000 pesalah trafik yang dikenal pasti menerusi AES ini," katanya.

Datuk Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) pula mencadangkan agar lebih banyak papan tanda amaran diletakkan supaya pengguna jalan raya akan berhati-hati.

Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) pula berkata, beliau juga berharap kerajaan dapat mengkaji semula AES supaya ia tidak memberi tekanan kepada pemandu.

"Ini bukan untuk menggalakan pemandu memandu laju tetapi berpendapat mekanisme pelaksanaan AES perlu dikaji semula supaya tidak membebankan dan memberi tekanan kepada mereka," katanya.

Sebelum ini Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kerajaan berpuas hati dengan impak kesalahan lalu lintas di kalangan pengguna jalan raya berikutan penggunaan kamera AES.

Kong berkata, rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga membuktikan berlaku pengurangan dalam kesalahan lalu lintas di beberapa kawasan di mana 14 kamera AES ditempatkan.

Fasa pertama pelaksanaan AES berjaya mengenal pasti 63,558 pesalah trafik setakat ini, sama ada memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Artikel Lain