suria

PM Tinjau Persiapan Akhir Belanjawan 2013

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan malam Khamis meninjau operasi persiapan terakhir Belanjawan 2013 di Kementerian Kewangan di sini.

Ketibaan beliau yang ditemani isteri Datin Seri Rosmah Mansor disambut oleh pegawai dan petugas kementerian yang terlibat dalam penyediaan belanjawan itu, serta turut melawat bilik-bilik operasi.

Najib turut mengadakan perjumpaan tertutup dengan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Hadir sama dalam lawatan itu ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Timbalan-timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Donald Lim Siang Chai, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Najib dijadual membentangkan Belanjawan 2013 di Dewan Rakyat, petang Jumaat.

Dalam entri blog 1Malaysia, Najib berkata pembentangan Belanjawan 2013 adalah dari rakyat untuk rakyat kerana ia dibuat selepas mengambil kira pandangan rakyat mengenainya.

Ia juga dijangka memberi impak positif kepada ekonomi negara selain membawa impak yang baik kepada masyarakat, katanya. -BERNAMA

Artikel Lain