suria

SPNB Komited Bina Rumah Golongan Berpendapatan Rendah

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sentiasa komited dalam membina rumah untuk rakyat berpendapatan rendah, kata Pengerusinya Datuk Idris Haron.

Beliau berkata SPNB melaksanakan tiga program utama - Program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M), Program Rumah Mampu Milik (RMM) dan pemulihan projek terbengkalai.

"Melalui RMR1M, SPNB telah berjaya menyerahkan 12,229 rumah di seluruh negara dengan nilai projek RM1.2 bilion dan 6,041 unit lagi sedang dibina bagi mencapai sasaran 10,000 rumah tahun ini," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

SPNB mengambil langkah itu selaras hasrat kerajaan dalam menyediakan 50,000 rumah mampu milik berharga tidak melebihi RM300,000 di seluruh negara bermula tahun depan.

Idris berkata SPNB menyambut baik saranan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung agar lebih banyak rumah dibina untuk rakyat berpendapatan sederhana dan ke bawah.

Idris menambah melalui program RMM pula, SPNB telah menyiapkan 15,029 rumah di seluruh negara di atas tanah seluas hampir 800 ekar bernilai RM196 juta.

"SPNB juga telah berjaya menyiapkan 85 projek rumah terbengkalai melibatkan 25,283 rumah di seluruh negara dengan kos pembangunan RM613 juta," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain