Lelaki Dipercayai Hadapi Masalah Mental Ditemui Lemas Dalam Kolam Ikan

ALOR GAJAH: Seorang lelaki dipercayai menghadapi masalah mental ditemui lemas di sebuah kolam ternakan ikan berhampiran kawasan Perindustrian Gangsa di sini, Jumaat.

Ketua Balai Bomba Ayer Keroh Wan Azlan Wan Abdul Jalil berkata mayat mangsa, Mazlan Hashim berusia lingkungan 30-an dari Kampung Gangsa di sini ditemui anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu pada 1.32 tengah hari. "Operasi mencari dan menyelamat bermula 12.55 tengah hari melibatkan dua anggota unit skuba dari Balai Bomba Jalan Kubu dibantu tujuh anggota dari Balai Bomba Ayer Keroh," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata mangsa ditemui tersangkut di bawah pondok terapung di kolam tersebut.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Dalam perkembangan lain, sebuah rumah sepasang suami isteri warga emas hampir musnah dalam satu kebakaran di Solok Bukit Baru, Bukit Baru di sini semalam.

Timbalan Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Kamalrulzaman Mohd Din berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut pada 6.13 petang dan tiba 11 minit kemudian dengan tiga jentera melibatkan 17 anggota dari Ayer Keroh dan Bukit Katil. "Api berjaya dikawal enam minit selepas itu dan padam sepenuhnya 6.56 petang. Kebakaran memusnahkan 80 peratus rumah tersebut dan punca kejadian serta kerugian masih dalam siasatan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain