suria

Kita Mahu Malaysia Selamat – PM

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan untuk mempertingkatkan keselamatan di negara ini, dengan memastikan semua agensi yang bertanggungjawab akan lebih efektif dalam menangani jenayah.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan menyedari bahawa langkah-langkah pencegahan yang baru diperlukan untuk memerangi jenayah, bersama-sama dengan pentadbiran yang dinamik, bertanggungjawab, menstruktur semula organisasi serta kelengkapan dan latihan berkaitan.

“Kami mahu Malaysia yang selamat daripada ancaman dalaman dan luaran, di mana kawasan-kawasan perumahan dan jalan raya adalah bebas daripada jenayah dan semua orang berasa selamat dan aman... sebagai sebuah negara yang terbaik untuk membesarkan anak-anak Malaysia,” kata beliau dalam pesanan Hari Raya Aidilfitri.

Najib berkata, bagi memastikan negara aman dan harmoni, semua rakyat Malaysia perlu bersatu dalam mengambil berat terhadap keluarga, jiran-jiran dan kawan-kawan.

“Kita tidak seharusnya bergantung pada pihak berkuasa penguatkuasaan bagi menangani jenayah tanpa turut memainkan peranan bersama-sama. Jika kita membiarkan jenayah berlaku tanpa membuat sebarang tindakan, ia akan menjejaskan keselamatan dan keamanan negara,” katanya.

Najib yang menyeru semua pihak menghargai keamanan dan keselamatan negara, beliau meminta rakyat Malaysia supaya mengubah sikap dan mempunyai pemikiran yang positif, sebagai menyokong kepada insfrastruktur keselamatan yang lebih efektif.

Perdana Menteri berkata, umat Islam di negara ini begitu bertuah kerana mereka hidup di sebuah negara yang makmyr sementara terdapat negara-negara lain yang menderita ekoran pergolakan politik dan ketidaktentuan ekonomi.

Najib berkata, sesetengah negara seperti di Asia dan Afrika, sebagai contoh, mengalami pergolakan politik malah negara-negara maju di Eropah dan Amerika turut berhadapan dengan krisis ekonomi yang teruk.

Beliau berkata, keadaan itu mempengaruhi peningkatan pengangguran, kekurangan pekerjaan, kadar pertumbuhan yang rendah dan menjejaskan kualiti hidup.

“Malaysia berjaya menjadi sebagai sebuah negara yang berbilang kaum yang aman dan bersatu-padu.

“Kita mempunyai tradisi meraikan kepelbagaian agama, budaya dna bangsa. Kepelbagaian kaum di negara lain menjurangkan antaranya tetapi di negara kita adalah pemangkin untuk maju.

“Kita hidup di sebuah negara yang aman dan harmoni. Itulah realitinya,” kata beliau.

Artikel Lain